Pages


Wednesday, August 13, 2014

Sebab Rasulullah SAW melarang kencing berdiri



Kencing atau bahasa sopan membuang air kecil ini sudah bukan suatu perkara yang asing lagi bagi umat manusia. Setiap manusia melakukan aktiviti ini untuk mengeluarkan sisa-sisa metabolisme tubuh (mengeluarkan kotoran tubuh). Dalam melakukan aktiviti inipun kita dituntut melakukannya dengan benar dan sesuai aturan.

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA berkata bahawa Rasulullah SAW tidak pernah kencing sambil berdiri semenjak diturunkan kepadanya Al-Quran.

Secara kesihatan kencing berdiri adalah penyebab utama penyakit batu karang karang pada semua penderita penyakit tersebut dan merupakan salah satu penyebab penyakit lemah syahwat bagi sebagian lelaki.

Dari segi agama, kebanyakan orang yang biasanya kencing berdiri kemudian mereka akan mendirikan solat, ketika akan rukuk atau sujud maka terasa ada sesuatu yang keluar dari kemaluannya, itulah sisa air kencing yang tidak habis keluar ketika kencing sambil berdiri, apabila perkara ini terjadi maka solat yang dikerjakannya tidak sah kerana air kencing adalah najis dan salah satu syarat sahnya solat adalah suci dari hadas kecil maupun hadas besar.

Umumnya kita memandang ringan terhadap cara dan tempat buang air, mungkin kerana pertimbangan waktu atau situasi dan kondisi yang mengharuskan (terpaksa) untuk kencing berdiri tanpa menyangka keburukannya dari sisi sunah dan kesihatan. Orang dulu mempunyai budaya melarang anak kencing berdiri sehingga kita sering mendengar pepatah “Guru kencing berdiri, murid kencing berlari”, kerana memang terdapat efek negatif dari kencing berdiri.

Kebiasaan orang kencing berdiri akan mudah lemah batin, kerana sisa-sisa air dalam pundi-pundi yang tidak habis terpancar menjadikan kelenjar otot-otot dan urat halus sekitar zakar menjadi lembik dan kendur. Berbeza dengan buang air mencangkung, dalam keadaan bertinggung tulang paha di kiri dan kanan merenggangkan himpitan buah zakar.
 
 

Ini memudahkan air kencing mudah mengalir habis dan memudahkan untuk menekan pangkal buah zakar sambil berdehem-dehem. Dengan cara ini, air kencing akan keluar hingga habis, malahan dengan cara ini kekuatan sekitar otot zakar terpelihara.

Ketika buang air kencing berdiri ada rasa tidak puas, kerana masih ada sisa air dalam kantong dan telur zakar di bawah batang zakar. Ia berkemungkinan besar menyebabkan batu karang. Kenyataan membuktikan bahawa batu karang yang berada dalam ginjal atau kantong dan telur zakar adalah disebabkan oleh sisa-sisa air kencing yang tidak habis keluar. Endapan demi endapan akhirnya mengkristal/mengeras seperti batu karang.

Jika anda meneliti sisa air kencing yang tidak dibersihkan dalam bilik mandi, anda bayangkan betapa keras kerak-keraknya. Bagaimana jika itu ada di kantong kemaluan Anda?? perkara ini juga merupakan salah satu yang menyebabkan penyakit lemah syahwat pada lelaki selain dari penyebab batu karang.
 


Demikian hikmahnya Rasulullah SAW melarang kencing berdiri.

Sehingga Nabi Saw sering mengingatkan dalam sabdanya: “Hati-hatilah dalam masalah kencing kerana kebanyakan siksa kubur dikeranakan tidak berhati-hati dalam kencing”.

Hadis riwayat Ibnu Abbas ra., ia berkata:

Rasulullah saw. pernah melalui dua buah kubur, lalu beliau bersabda:

Ingat, sesungguhnya dua mayat ini sedang disiksa, namun bukan kerana dosa besar. Yang satu disiksa kerana dia dahulu suka mengadu domba, sedang yang lainnya disiksa kerana tidak membersihkan dirinya dari air kencingnya. Kemudian beliau meminta pelepah daun kurma dan dipotongnya menjadi dua.

Setelah itu beliau menancapkan salah satu pada sebuah kuburan dan yang satunya lagi pada kuburan yang lain seraya bersabda: Semoga pelepah itu dapat meringankan siksanya, selama belum kering. (Shahih Muslim No.439)

Adab Buang Air Kecil Dan Memasuki Tandas 

Maka ada baiknya kita belajar adab-adab dan sunnah-sunnah di tandas (bilik air) berikut agar kita banyak mendapatkan manfaat baik di dunia (kesihatan) maupun di akhirat (agama) yang telah diajarkan Rasulullah SAW:

1. Buang air mencangkung (tidak berdiri jika tidak terpaksa/darurat), agar kotoran boleh keluar lancar sehingga tidak menjadi penyebab batu karang mahupun lemah syahwat

2. Menggunakan alas kaki

Menurut kajian di Amerika Syarikat di dalam kamar mandi/bilik air ada sejenis virus dengan type Americanus yang masuk melalui tapak kaki orang yang ada di bilik air tersebut. Dengan proses waktu yang panjang virus tersebut naik ke atas tubuh dan ke kepala merosak jaringan otak yang menyebabkan otak lemah tak mampu lagi mengingat, blank semua memori otak sehingga nyanyuk. Sandal hendaknya diletakkan di luar bilik air, jangan di dalam bilik air, kerana semakin kotor, lembab dan tidak mengenai sasaran kebesihan.

3. Masuk kamar mandi  /bilik air dengan kaki kiri dan keluar dengan kaki kanan

Inilah sunnah yang diperintahkan oleh Nabi, dan juga disunnahkan untuk membaca doa sebelum masuk kamar mandi (doa dibaca di luar bilik mandi) dan setelah keluar dari bilik mandi. Berbeza jika kita masuk masjid dan rumah, masuk masjid atau rumah dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri.

4. Beristinjak dengan air dan dengan tangan kiri

Beristinjak (bersuci dan membersihkan kotoran) dengan air, bukan dengan tissue atau lainnya kecuali jika tidak ditemukan air ketika dihutan, padang pasir dsb. Boleh gunakan tissue tapi harus dibilas lagi dengan air setelahnya. Syarat kebersihan dan kesucian dari najis menurut syariat adalah hilang warna, hilang bau, dan hilang rasa dari najis tersebut. Beristinjak juga disunnahkan dengan tangan kiri, inilah pembahagian tugas dari tangan, bagaimana tangan kiri untuk urusan ‘belakang’ sedangkan untuk makan & minum disunnahkan dengan tangan kanan, jangan dicampuradukkaan, tangan yang untuk urusan belakang itu juga untuk makan. Dan Nabi melarang makan & minum dengan tangan kiri.

5. Jangan merancang/merencana sesuatu di bilik air

Nabi sangat melarang merancang atau membuat suatu rancangan/idea/inspirasi di dalam bilik air, kerana bilik air adalah markas syaitan sebagaimana doa kita ketika hendak masuk bilik air: “Allahumma inni a’udzubika minal khubutsi wal khabaits”, Yaa Allah, aku berlindung kepada-Mu dari godaan syaitan laki-laki maupun perempuan”.

Kerana dikhuatiri rancangan / idea / inspirasi yang didapati berasal dari bisikan syaitan yang kelihatannya baik tapi setelah dijalankan ternyata banyak mudarat/keburukannya. Begitu juga setelah keluar bilik air, baca istighfar dan doa keluar bilik air. Secara adab dan budaya pun sangat tidak baik, sambil buang kotoran mencari idea/inspirasi atau merancangkan sesuatu yang baik apalagi sesuatu itu menyangkut hajat hidup orang ramai. Disunahkan juga untuk menyegerakan keluar bilik air apabila hajat sudah selesai, bukan malah bernyanyi-nyanyi apalagi sambil baca buku atau akhbar.

6. Ketika buang air dilarang menghadap atau membelakangi kiblat, apabila lubang bilik air menghadap kiblat hendaklah ketika buang air badan agak diserongkan sedikit

Apabila sunnah diamalkan walaupun dalam bilik air maka kita ini juga namanya ibadah. Betapa sayangnya setiap hari kita ke bilik air beberapa kali tapi tidak mendapatkan pahala ibadah dengan menghidupkan sunnah. Padahal salah satu maksud dan tujuan manusia diciptakan adalah untuk ibadah.
 
Credit to:  detikislam.blogspot.com

Wednesday, August 6, 2014

Bantuan Allah terhadap Mujahidin Al-Qassam yang terperangkap

[Mujahidin Al-Qassam terperangkap dalam terowong berminggu-minggu, akhirnya berjaya keluar dengan selamat]

Kisah ini diceritakan sendiri oleh Briged Izzuddin Al-Qassam dalam laman sesawang mereka iaitu kisah bagaimana 29 orang anggota Briged Al-Qassam yang bertempur di Khan Younis ketika perang darat bermula terperangkap dalam terowong bawah tanah dan komander briged mengesyaki bahawa mereka telahpun syahid selepas terputus komunikasi dengan mereka.
Tetapi dengan takdir Allah, 23 orang anggota Briged Al-Qassam berjaya keluar dengan selamatnya semalam. Baki anggota Briged Al-Qassam yang lain masih dicari.




Lubang keluar dari terowong itu telah musnah dan tertutup apabila sebuah pesawat F-16 membedilnya dengan peluru berpandu. Ini menjadikan mereka terperangkap dalam terowong dengan kedalaman 25 meter dari atas tanah.

Seorang komander berkata : "Setelah tempoh gencatan senjata bermula, pasukan bomba dan penyelamat berusaha menggali semula terowong yang telah terkambus itu, lalu kami terkejut apabila 23 orang mujahidin berjaya keluar dengan kesihatan yang cukup baik."

Salah seorang mujahidin yang berjaya keluar dengan selamat itu berkata : "Kami menjumpai sebuah air mata air dengan izin Allah dan kami meletakkan helaian baju kami agar air itu bertakung di dalam baju tersebut. Kami ada beberapa biji tamar lalu kami membahagi-bahagikannya antara kami. Setiap seorang dari kami mendapat separuh dari sebiji tamar, dan separuh gelas air yang kecil setiap hari."


Sebagai makluman, punca air di kawasan itu berada pada 90 meter dalamnya dari atas tanah, iaitu 65 meter di bawah tempat para mujahidin itu terperangkap.
Mujahidin itu menambah lagi : "Ini adalah satu anugerah yang diberi Allah kepada kami, dan jika seluruh dunia tidak bersama kami dan para mujahidin kami, Allah ada untuk bersama kami."

Jangan lupa sebarkan pada rakan-rakan.

Credit to : https://www.facebook.com/aqsa.syarif
https://www.facebook.com/longlivepalestin

Friday, July 4, 2014

Jangan Lelong Murah Nama Nabi S.A.W

JANGAN LELONG MURAH NAMA NABI S.A.W
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Saya tertarik dengan twitter Imam dan khatib Masjidil Haram al-Syeikh Su’uud al-Syuraim yang menyebut: (terjemahan) “dakwaan bermimpi Nabi s.a.w menyuruh membunuh banyak nyawa adalah satu kejahatan yang nyata”.

Beliau mungkin menjawab satu ucapan seorang tokoh agama di Mesir dalam videonya yang mendakwa bahawa beliau bermimpi berjumpa dan Nabi s.a.w menyuruh membunuh penunjuk perasaan yang membantah kerajaan tentera.

IMG-20140407-WA0020

-Gambar Hiasan

Salahguna

Demikian nama Nabi s.a.w sering digunakan untuk pelbagai kepentingan. Oleh kerana nama baginda begitu laku maka ramai yang cuba mengambil kesempatan untuk pelbagai kepentingan diri dan puak. Mendakwa mimpi berjumpa Nabi, di samping untuk kepentingan tertentu, ia juga bertujuan untuk menunjukkan diri kepada orang ramai bahawa diri yang bermimpi itu sangat istimewa. Inilah yang cuba ditonjolkan oleh sesetengah guru agama dalam membina pengaruhnya dalam masyarakat. Hal ini berbeza dengan golongan salaf terdahulu yang sentiasa merendah diri dalam memperkatakan tentang kedudukan mereka di sisi Allah S.W.T

Imam Ahlus Sunnah wal Jama’ah al-Imam Ahmad bin Hanbal yang merupakan sarjana hadis yang agung ketika seseorang berkata kepadanya:

“Ibu saya telah bermimpi bagi engkau syurga”. Jawab al-Imam Ahmad: “Wahai saudara! Dahulu Sahl bin Salamah telah diberitahu perkara yang sebegini kemudian dia melakukan menumpahkan darah manusia”. Kata Ahmad bin Hanbal lagi: “Mimpi itu mengembirakan orang mukmin, bukan memperdayakannya”. (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 11/227. Beirut: Muassasah ar-Risalah).

Dusta

Namun apabila agama menjadi bahan untuk kepentingan diri, maka mimpi dijadikan hujah, sedangkan nas yang terang diketepikan. Betapa banyak nas yang Nabi s.a.w melarang kezaliman, kesombongan, mengambil kesempatan atas harta orang ramai dengan menggunakan nama agama dan lain-lain penyalahgunaan dan penindasan. Masakan Nabi s.a.w muncul dalam mimpi seseorang yang akhirnya mencetus kesemua hal itu. Masakan Allah mengiktiraf insan tertentu dengan diberikan kurniaan bermimpi Nabi s.a.w sedangkan dia akhirnya membuat perkara yang dilarang oleh Nabi s.a.w.

Sesiapa yang mendakwa bermimpi Nabi s.a.w dengan satu mesej yang menyanggahi ajaran Nabi s.a.w, dia sebenarnya berbohong. Jika pun dia bermimpi, itu sebenarnya syaitan yang menyerupai orang lain, lalu kerana dia tidak kenal Nabi s.a.w maka dia menyangka itu baginda. Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi s.a.w tetapi boleh menyerupai orang lain dan yang tidak tahu menyangka itu Nabi s.a.w. Syaitan boleh menipu sesiapa sahaja sekalipun yang berserban besar.

Jumpa Nabi

Hari ini ramai yang membuat pelbagai majlis atas nama Nabi Muhammad s.a.w. Pada asasnya mengingati Nabi s.a.w dalam usaha mengamalkan ajaran baginda memanglah sesuatu yang baik. Bernasyid dan berqasidah untuk hiburan hati juga tidak salah. Memuja dan memuji Nabi s.a.w dalam puisi dan syair juga baik. Namun, jika Nabi s.a.w itu sekadar satu upacara dalam menaikkan golongan tertentu ataupun mengaut keuntungan tertentu maka itu tidak akan membawa masyarakat kepada Nabi s.a.w.

Ada pula yang mendakwa kononnya Nabi s.a.w itu hadir ke dalam majlis mereka secara jaga atau yaqazah. Ada yang melambai kononnya Nabi s.a.w itu hadir. Sekadar lambai suka-suka maka itu sekadar hiburan. Namun apabila melibatkan dakwaan tertentu berkaitan agama maka itu perlukan dalil syarak. Takrif sahabat Nabi s.a.w di sisi Ahli Hadis ialah ‘sesiapa yang berjumpa dengan Nabi s.a.w, beriman dengan baginda dan mati dalam iman’. Soalannya, apakah mereka yang berjumpa Nabi s.a.w dalam majlis-majlis di Malaysia ini telah menjadi sahabat Nabi s.a.w sehingga mereka ini nanti kita sebut selepas nama mereka radiyalLahu ‘anhu. Dakwaan yang seperti ini mempunyai kesan yang bukan mudah. Jika kita masih ingat dahulu Ashaari Muhammad pengasas Pertubuhan al-Arqam yang membawa ajaran sesat yang berasaskan mimpi dan pertemuannya secara yaqazah (jaga) dengan Nabi s.a.w. Akhirnya pelbagai dakwaan pelik dikeluarkannya dengan bersandar kepada dialognya dengan Nabi s.a.w. yang dia dakwa itu.

Para sahabat Nabi s.a.w telah menghadapi pelbagai krisis dan masalah. Mereka tidak pernah menggunakan mimpi berjumpa Nabi s.a.w dalam pertikaian antara mereka. Tidak pernah ‘Ali ataupun ‘Aishah ataupun al-Zubair ataupun Talhah dalam krisis antara mereka yang telah membawa kepada penumpahan darah itu mendakwa bermimpi berjumpa Nabi s.a.w dalam menentu kebenaran. Padahal mereka lebih perlukan dan lebih layak untuk bermimpi berjumpa baginda. Maka, kita kena ingat apa yang Nabi s.a.w ingatkan kita:

“Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim).

Cinta

Ramai orang suka menyandarkan diri mereka kepada Nabi s.a.w dengan dakwaan mereka keluarga Nabi s.a.w ataupun pencinta keluarga Nabi s.a.w. Paling hebat dalam hal ini golongan Syiah dan mereka yang mendekati jalan yang diambil oleh Syiah.

Kita tidak boleh nafikan bahawa kita semua dituntut menyayangi keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait). Saban hari kita bersalawat buat mereka. Namun, bukan semua Ahlul Bait itu mendapat kemuliaan Allah. Hanya Ahlul Bait yang mengikuti jejak langkah Nabi s.a.w sahaja. Iman bukan warisan keturunan. Anak Nabi Nuh a.s. menjadi penderhaka kepada beliau. Maka tidak mustahil ada keturunan Nabi Muhammad s.a.w juga yang tidak mengikuti jalan baginda. Perkataan ‘habib’ dan ‘sayyid’ bukan jaminan seseorang itu berada atas jalan Nabi s.a.w. Nabi s.a.w pernah menegaskan:

“Sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap ‘mulia’ dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Nafi

Dalam keghairahan mendakwa sebagai pengikut Nabi s.a.w ataupun pencinta Nabi s.a.w, kita janganlah lupa bahawa dalam hadis banyak golongan yang Nabi s.a.w tidak mengaku mereka sebagai pengikut baginda. Mendakwa itu mudah, tetapi untuk mendapat pengiktirafan dari baginda s.a.w memerlukan usaha kita semua agar berada atas panduan baginda.

Antara golongan yang Nabi s.a.w tidak mengaku sebagai pengikut baginda ialah golongan menipu umat Islam terutama dari segi harta benda. Suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:

“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).

Pencinta dan keluarga Nabi s.a.w tidak boleh bersama dengan penipuan. Nabi s.a.w tidak mengaku sebagai pengikut baginda. Bahkan pencinta wajar tegas dalam memperkatakan kebenaran. Sesiapa yang menipu hakikat dan menyelewengkan kebenaran maka dia tidak diiktiraf sebagai pengikut Nabi s.a.w. Sabda Nabi:

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmii. Berstatus sahih.

Moga kita semua sayangkan Nabi s.a.w. Berusaha mengikuti jalan Nabi s.a.w. Menggalakkan orang ramai ke arah cinta Nabi s.a.w dengan pelbagai pendekatan. Namun, jangan murah-murah lelong nama Nabi s.a.w untuk kepentingan yang tidak diiktiraf oleh Nabi s.a.w!!!


View the original article here

Thursday, July 3, 2014

Islam: Antara Hakikat Dan Hiasan

ISLAM: ANTARA HAKIKAT DAN HIASAN
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Apakah jenis Islam yang kita inginkan ataupun pentingkan? Islam yang hakiki yang berteraskan kepada intipati ataupun tujuan syariat Islam itu diturunkan oleh Allah? Ataupun Islam hiasan yang kelihatan pada luaran kulitnya atau cosmetic adjustments padahal intipati (essence) tidak memenuhi tujuan asal Islam itu sendiri?

Dahulu Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali (w. 505H) menulis kitabnya yang terkenal Ihya ‘Ulum al-Din bagi menangani penghayatan Islam tanpa roh yang sebenar. Tujuan beliau menangani perbahasan fekah yang kontang tanpa isi kerohanian dalam menghayati ibadah. Al-Imam Abu Ishaq Al-Syatibi (w. 790) telah menulis al-Muwafaqat membahaskan Maqasid al-Syariah (The Highest Objectives and intents of Islamic Law) bagi menjelaskan apakah tujuan utama di sebalik syariah yang kita lihat dan amalkan.

Dalam Radical Reform, Prof. Tariq Ramadan menolak apa yang dinamakan Islamic economy, Islamic politic, Islamic medicine dan seumpamanya. Beliau menolak istilah-istilah ini. Beliau menyatakan tiada sama sekali apa yang dinamakan Islamic economy sebaliknya yang ada hanyalah garis panduan umum serta falsafah bagi tujuan ekonomi yang ditetapkan oleh Islam. Bagi beliau tiada yang dinamakan Islamic economy, sebaliknya yang ada ialah etika Islam dalam ekonomi. Kata beliau “There is no Islamic economy, therefore, but an Islamic ethics of the economy”.

Hiasan

Ia mungkin soal pengistilahan, tetapi yang hendak ditekankan, apakah faedahnya meletakkan nama Islam untuk ekonomi, perubatan dan seumpamanya, padahal ia hanya satu hiasan luaran bukan hakikat yang hendak dicapai oleh syariat Islam itu sendiri. Jika dinamakan perbankan Islam, tapi unsur penindasannya sama dengan yang tidak bernama Islam, hanya sekadar istilah arab dan syariah sahaja yang dipentingkan, apalah maknanya? Allah tidak memerlukan harta kita, Allah mahu kita tidak zalim dan tidak menindas antara satu sama lain.

Pakaian, istilah, hiasan, corak dan bahasa yang dikaitkan dengan Islam tidak memberi erti jika tidak memenuhi tujuan asal ataupun matlamat syariat Islam dalam perkara yang berkaitan. Saya berikan satu contoh di sini, sebuah kedai makan yang bersih dan selamat makanannya tanpa memperlihatkan ciri-ciri zahir agama lebih memenuhi tuntutan Islam dibandingkan sebuah kedai makan yang peniaganya berkopiah dan dindingnya bergantungan ayat-ayat al-Quran tetapi tidak bersih dan kualiti makanannya di tahap yang rendah.

Bagi seorang peniaga makanan, menyediakan makanan yang bersih dan selamat adalah satu kewajiban. Itulah intipati tanggungjawab seorang peniaga makanan. Sementara memakai kopiah dan mengggantung ayat al-Quran di dinding bukanlah satu tuntutan. Ia satu pilihan. Bahkan kadang-kala ia boleh menjadi satu cara penipuan jika ada tujuan yang tidak jujur. Sabda Nabi:

“Muslim saudara muslim. Tidak halal seorang muslim menjual kepada saudaranya suatu jual yang ada kecacatan tanpa diterangkan” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll. Al-Hakim menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).

Tipu

Apabila kita membaca hadis Nabi s.a.w yang bersabda: “Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertaqwa, berbuat kebaikan dan benar” (Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dalam al-Mustadrak dll. Al-Hakim menyatakan sanadnya sahih. Ia dipersetujui oleh al-Zahabi) kita tahu yang jahat ialah sesiapa yang menipu pelanggan. Dalam konteks kedai makan penipuan adalah makanan yang kotor dan tidak selamat. Tidak dikatakan penipu orang yang tidak memakai kopiah ataupun tidak menghiasi kedainya dengan ayat-ayat al-Quran.

Memakai kopiah dan menggantungkan ayat al-Quran itu merupakan hak peniaga atas premisnya. Namun jika itu semua dilakukan untuk menarik pelanggan supaya merasa kedai makannya mengikut ajaran Islam sedangkan hakikat tidak, maka itu satu penipuan.

Lebih baik dia jangan meletakkan ayat-ayat Tuhan di dinding jika itu sekadar mengelirukan pelanggan. Dia bagaikan menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah. Mungkin bagi muslim mereka dapat bezakan antara perangai orang yang tidak ikut ajaran Islam dengan kesucian ayat yang digantung. Namun bagi non-muslim mungkin mereka akan salah sangka dengan Islam. Suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:

“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).

Intipati

Demikian juga Islam tidak pernah menetapkan jenis masakan. Bukanlah masakan arab itu lebih disukai Allah dibandingkan masakan Barat. Seseorang yang suka makanan arab tidak bererti dia lebih soleh daripada yang suka makanan melayu ataupun Barat. Apa yang Allah sebut dalam al-Quran:

“dan makan dan minumlah, tapi jangan berlebihan, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebihan”. (Surah al-A’raf, ayat 31).

Jika kita lihat dalam urusan pentadbiran, apakah yang menjadi tujuan pengurusan pentadbiran dalam Islam? Islam tidak pernah mendetilkan rupa paras politik Islam, sebaliknya hanya memberikan garis panduan umum sahaja. Pentadbiran dan politik dalam Islam samada hendak dinamakan etika Islam dalam politik ataupun politik Islam, terpulang. Namun perkara yang menjadi tujuan Islam dalam politik ialah kemaslahatan negara. Bukan kemaslahatan pemimpin ataupun parti tertentu sahaja, sebaliknya ialah kemaslahatan umum untuk semua negara. Pengurusan pentadbiran dalam Islam berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah ataupun efficiency and accountability. Jika sesiapa sahaja mampu mencapai pengurusan yang amanah dan cekap dalam ertikata yang Islam kehendaki, maka dia telah menunaikan maksud dan tujuan pentadbiran politik dalam Islam. Firman Allah:

“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).

Bagaimanakah reka bentuk kerajaan dan pendekatan yang hendak diambil dalam mencapai maksud amanah dan cekap itu, Islam tidak tetapkan. Asalkan ia adil, tidak zalim atau tidak menyanggahi prinsip-prinsip umum Islam maka segala pendekatan dan cara boleh diambil.

Islam tidak pernah menetapkan pemimpin itu mesti bergelar mullah ataupun ustaz ataupun ulama. Tidak pula mesti berjubah dan berkopiah. Tidak pula ditentukan mesti nama-nama negeri, kampong, pejabat ditukar kepada istilah-istilah arab. Jika ulama dilihat mampu membawa kepada ketelusan dan kecekapan pentadbiran maka mereka dilantik. Jika selain ulama lebih mampu, mereka dilantik. Apa yang al-Quran tegaskan : (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Dalam minat yang tinggi rakyat kita untuk kembali kepada Islam, mereka hendaklah dapat membezakan antara hakikat dan hiasan. Bukan hiasan itu tidak perlu, tetapi hiasan itu hendaklah menggambarkan hakikat. Jika hiasan itu tidak menggambarkan hakikat maka itu penipuan dan ia bukan tujuan asal Islam yang Tuhan kehendaki.


View the original article here

Wednesday, July 2, 2014

Menangislah Wahai Mata!

MENANGISLAH WAHAI MATA!
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com
dan twitter realDrMAZA)

Ada orang berkata ‘aku tidak mahu menangis dalam hidup ini
’. Ada pula yang berkata ‘apalah faedahnya menangis?! Ia tidak dapat mengubah apa-apa’. Ada juga yang berkata ‘aku bencikan airmata’. Ungkapan-ungkapan seumpama ini mungkin dikeluarkan oleh mereka yang merasa tekanan dalam hidup. Namun, hakikatnya dalam hidup ini, insan memerlukan airmata tangisan dalam membentuk peribadi yang halus dan luhur antara dia dengan jiwanya, antara dia dengan Allah S.W.T.

Jenis Tangisan
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam Zad al-Ma’ad
menyebut tentang jenis-jenis tangisan (al-bukaa). Ada tangisan kasihan dan simpati (ar-rahmah wa ar-ra`fah). Ada tangisan takut dan gerun (al-khauf wa al-khashyah). Ada tangisan cinta dan rindu (al-mahabbah wa ash-syauq). Ada tangisan suka dan gembira (al-farh wa as-surur). Ada tangisan kerana dukacita (al-hazn).

Perbezaan antara tangisan dukacita dengan tangisan takut ialah dukacita berkaitan yang sudah berlaku sementara takut berkaitan yang belum berlaku. Tangisan gembira airmatanya sejuk dan jantung hati sukacita. Tangisan sedih airmatanya panas dan jantung hati pula berdukacita.


Ada pula tangisan tewas dan lemah (al-khaur wa ad-dha’f
). Ada pula tangisan munafiq (an-nifaq) di mana mata menangis sedangkan kalbu keras. Dia menzahirkan kusyuk padahal dialah orang yang paling keras jantung hatinya. Ada tangisan yang diupah dan dibayar. Ini seperti tangisan meratapi mayat yang dibayar upahnya. Ada tangisan mengikut (al-muwafaqah) di mana seseorang menangis kerana melihat orang lain menangis. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad 1/184-185. Beirut: Muassasah ar-Risalah). 

Tangisan Indah
Tangisan kerana takutkan Allah atau tangisan kerana merindui Allah adalah tangisan yang lahir jiwa yang khusyuk. Suatu perasaan yang begitu indah yang tidak dapat difahami melainkan mereka yang mendapat kurnia Allah untuk matanya menangis kerana rindukan Tuhan, ataupun gerun kepadaNYA. Suatu perasaan kudus lagi nikmat yang meliputi roh akan dirasai oleh sesiapa yang Allah rezekikannya tangisan jenis ini. Matanya menangis, jiwanya tenggelam dalam nikmat rindu, cinta dan gerun kepada kebesaranNYA. Tidaklah dapat difahami hal ini melainkan mereka yang telah merasainya. Bak kata sebahagian orang sufi “sesiapa yang tidak merasa, dia tidak akan memahaminya
”.
Hanya jiwa-jiwa yang hampir dengan Allah sahaja yang akan merasai nikmat ini. Lebih hampir seseorang dengan Allah, lebih seringlah zahirnya nikmat ini pada diri seseorang.
Al-Quran pada banyak tempat memuji tangisan ini. Firman Allah memuji para rasulNYA: (maksudnya)
“..apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Ar-Rahman (Allah), mereka segera sujud serta menangis”. (Surah Maryam: 58).
Firman Allah memuji orang-orang soleh pula: (maksudnya)
“..sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud. Sambil mereka berkata (dalam sujudnya): “Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk” (Surah al-Isra`: 107-109)
Al-Quran juga mengutuk mereka yang keras jiwa mempersenda dan tidak menangis terhadap ayat-ayat Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan ini (al-Quran)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis?” (Surah al-Najm: 59-60).
Berusaha
Kita hendaklah berusaha agar dapat menangis kerana takut dan juga kerana rindukan Allah. Rindukan Tuhan itu suatu nikmat yang amatlah rugi sesiapa yang tidak pernah merasainya. Rindu itu membersihkan jiwa dari kekotoran yang menyalutinya. Ia adalah ubat kepada segala dukacita dunia. Apabila rindu itu menyelinap masuk ke dalam jiwa, ia bagaikan satu sentapan yang mengeluarkan dunia dari perasaan, yang menjelma ialah lautan kenikmatan rohani yang tidak dapat digambarkan oleh bahasa. Airmata kusyuk itu amat segar dan menyejukkan jiwa.
Nikmat inilah yang disebut oleh para ulama salaf. Nikmat inilah yang selalu dibayangkan oleh golongan sufi yang luhur. Nikmat inilah yang dirasai oleh sesiapa yang mengikut jalan salafus soleh
dengan ikhlas dan mencari hidayah Allah.
Setiap insan hendaklah berusaha mencapai keadaan itu. Walaupun ia kadang-kala hanya hadir dalam waktu-waktu tertentu, namun ia adalah amat bermakna untuk jiwa. Bukan semua orang lunak jiwanya sehingga takut dan rindukan Allah. Dalam hadis, Nabi s.a.w menyebut tujuh golongan yang mendapat perindungan Allah pada hari Akhirat kelak, salah satunya:
“lelaki yang mengingati Allah secara sendirian lalu matanya menangis” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata Abdullah bin ash-Shakhir:
“Aku masuk kepada Rasulullah s.a.w, baginda sedang bersolat, dalam dada baginda bagaikan bekas air yang mendidih kerana menangis” (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dll. Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menilainya sahih)

Mata yang menangis kerana takutkan Allah, mengenang kekurangan dirinya dalam mentaati Allah, mengenang dosa-dosanya terhadap Allah adalah mata yang soleh. Tangisan keinsafan adalah satu kurniaan Allah buat jiwa insaf. Tangisan itu memelihara mata dari api neraka. Nabi s.a.w menyebut:
“Dua jenis mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam berkawal di jalan Allah” (Riwayat al-Tirmizi, katanya: hasan gharib. Al-Albani menyatakan sahih).
Menangislah
Maka menangislah wahai mata! Berusahalah menangis untuk mencapai tangisan nikmat itu. Berusahalah menangis untuk mencapai rasa takut kepada Allah atas kekurangan diri terhadap hak-hak Allah yang kita telah cabul ataupun kurangkan. Malu kepada Allah. Rasa bersalah terhadapNYA. Rindukan cintaNYA dan gerunkan kebesaranNYA. Dalam kalangan salafussoleh ada menyebut:
“Menangislah kerana takutkan Allah. Jika engkau tidak menangis, berusahalah menangis” (Zaad al-Ma’ad, 1/185).
Saya suka dengan kisah Salman al-Farisi sebelum beliau meninggal. Ketika dia dalam kesakitan, Sa’ad bin Abi Waqqas menziarahinya. Salman menangis. Sa’ad bertanya:
“Apakah yang membuat engkau menangis wahai saudaraku? Tidakkah engkau telah bersahabat dengan Rasulullah s.a.w. Tidakkah ini dan itu telah kau lakukan?” Jawab Salman: “Daku tidak menangis kerana salah satu dari dua perkara. Aku tidak menangis kerana cintakan dunia ataupun bencikan akhirat. Namun daku menangis kerana mengenang Rasulullah s.a.w telah berjanji denganku satu perjanjian yang mana aku berpendapat aku telah melanggarnya”. “Apakah yang Rasulullah janji dengan engkau” Tanya Sa’ad. Jawab Salman: “Baginda berjanji bahawa cukuplah seseorang kamu mengambil dunia dengan kadar seorang pengembara. Daku rasa daku telah melanggarnya”. (Riwayat Ahmad, Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak. Hadis sahih)
Padahal, dalam Sahih Ibn Hibban diriwayatkan Salman meninggal hanya lima belas dirham sahaja yang berbaki dari hartanya.
Kita semua lebih patut menangis dibandingkan Salman al-Farisi sahabi Nabi s.a.w yang mulia itu. Menangis mengenang diri kita dan kekurangan yang telah kita lakukan terhadap hak-hak Allah. Menangislah wahai mata! Di sana engkau temui nikmat hubunganmu dengan tuhanmu.

View the original article here

Monday, June 30, 2014

Patutkah Politik Dicampur Agama?

PATUTKAH POLITIK DICAMPUR AGAMA?
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Semalam ada pihak yang bertanya saya tentang mereka yang memakai kasut semasa solat. Soalan itu merujuk kepada kumpulan anak-anak muda yang membantah kenaikan harga barang yang bersolat dalam keadaan memakai kasut di tempat mereka berkumpul. Ada pula yang cuba menyatakan solat itu tidak sah, bahkan ada yang menyatakan itu seperti menghina solat.

Rentetan dari itu juga ada yang menyatakan anak-anak muda yang memakai topeng ala vendetta dalam perhimpunan itu telah rosak akidah mereka kerana menyerupai ajaran kristian.

Tujuan Politik

Samada kita bersetuju ataupun tidak dengan perhimpunan anak-anak muda, suatu hal yang lain, tapi yang jelas kenyataan-kenyataan ini walaupun berbunyi agama tetapi hakikat bukan bertujuan agama. Sebaliknya, bertujuan kepentingan politik pihak tertentu malangnya, unsur agama dimainkan untuk menjatuhkan pihak yang bertentangan. Hal ini berlaku dalam banyak pihak dan puak sepanjang sejarah politik manusia.

Memakai kasut semasa solat bukanlah satu kesalahan jika kasut itu bersih dari najis. Dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim, ada riwayat yang disahihkan oleh al-Zahabi, daripada Anas bin Malik, berkata:

“Nabi s.a.w tidak pernah menanggalkan kasut dalam solat melainkan sekali, lalu –ketika itu- orang ramai pun turut menanggalkannya. Nabi s.a.w bertanya: “Mengapa kamu menanggalkan kasut kamu?”. Mereka menjawab: “Kami melihat engkau menanggalkannya, maka kami pun tanggalkan”. Nabi s.a.w bersabda: “Jibril telah memberitahu aku bahawa pada kedua kasutku ada kotoran”.

Dalam riwayat Ibn Khuzaimah ditambah: “Seseorang kamu hendaklah melihat kasutnya, jika ada kotoran hendaklah dia sapu di tanah (gesel hingga bersih di tanah), kemudian dia boleh bersolat memakainya”

Ertinya, bukan satu masalah yang besar, bahkan diizinkan solat memakai kasut jika bersih. Namun ia dijadikan isu kerana ada kepentingan politik. Betapa ramai yang pergi konsert yang pelbagai dalam negara ini yang entah bila mereka bersolat pun tiada siapa yang tahu. Tidak pernah pula menjadi isu pun bagai ‘agamawan politik’ ini, tiba-tiba yang bersolat berkasut pula menjadi isu.

Topeng vendetta memanglah bukan dari ajaran Islam, tapi sejak bila pula ia dari ajaran Kristian?! V for Vendetta adalah hasil dari novel David Llyold dan Tony Weare pada tahun 1982. Ia menjadi terkenal kerana difilemkan pada tahun 2005 dengan tajuk ‘V for Vendetta’. Dalam sejarah, topeng itu menggambarkan keberanian Guy Fawkers dan kumpulannya yang menentang penguasa yang menindas rakyat pada tahun 1605. Cuma dalam kisah topeng ini kumpulan pemuda yang menentang penguasa itu agak ekstrim dengan merancang untuk membunuh King James dan meletupkan negara. Dikatakan mereka juga ingin menghapuskan parlimen dan mengembalikan monarki Katolik. Dari sudut itu, ia bukan satu perlambangan yang baik.

Cuma, sebenarnya bukan isu kristianisasi yang ditakuti, sebaliknya isu politik yang hendak dikaitkan. Betapa ramai orang politik negara ini yang hadir dalam majlis sambutan Krismas, Depavali, sambutan itu dan ini yang dari segi latar sejarahnya memang mempunyai unsur agama. Tidaklah pula mereka itu dikaitkan dengan kristianisasi, hinduisisasi ataupun seumpamanya.

Demikian juga sama apabila ada pihak yang mengharamkan muslim menyertai parti musuhnya yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar kerana dianggap menolak Islam. Namun kemudiannya membolehkan muslim menyertai parti lain yang tidak berteraskan Islam sebagai dasar disebabkan parti itu berbaik dengan mereka.

Semua hukuman yang tidak selaras dan terpilih ini akibat dari menjadikan agama sebagai senjata dalam berpolitik.

Politik Agama

Percampuran antara politik dan agama boleh membawa kesan yang positif yang diredhai dan dikehendaki Allah dan RasulNYA, tapi boleh juga membawa kesan yang negatif yang merosakkan agama Allah dan rasulNYA. Ia semua amat bergantung kepada siapa yang mengendalikan percampuran tersebut. Atas apa hasrat dia ingin mencampurkan agama dan politik menentukan hasil percampuran itu.

Jika dia mencampurkan keduanya untuk mendapat panduan Tuhan dalam memimpin manusia secara adil dan amanah maka itu membawa kepada kebaikan. Namun, jika percampuran politik dan agama atas hasrat menguatkan kedudukan politik cuma, maka itu akan merosakkan nama Allah dan agamaNYA. Agama hanya akan menjadi mainan kepentingan penguasa dan segala tafsiran mempunyai kepentingan mereka yang terbabit dalam politik.

Dalam sejarah Kristian ketika golongan agama di Vatican menguasai politik, betapa ramai tokoh-tokoh yang dihukum mati atas tuduhan heresy (murtad) hanya kerana tidak bersetuju dengan penyelewengan pihak gereja dan kuasa politik. Umpamanya dalam isu penjualan indulgences atau borang pahala yang dijadikan saluran untuk golongan agama mengaut harta dengan cara menipu fakta agama, ramai dibunuh kejam hanya kerana mengkritik. Demikian juga isu purgatory, relics, saints dan pelbagai lagi yang menjadikan cara golongan agama menipu orang awam. Mereka yang jujur bangun mengkritik dijatuhkan hukuman mati dan dibakar hidup-hidup. Inilah nasib yang menimpa Jan Huss (1370-1415) yang merupakan reformis agama Bohemian, yang dibakar hidup-hidup di khalayak ramai. Demikian tekanan yang dikenakan kepada reformis agung Kristian Martin Luther (1483-1546) dan para pengikutnya yang sebahagian mereka dibakar hidup-hidup. Golongan politik mengambil kekuatan dari cengkaman kuasa agama ke atas rakyat. Penyelewengan pengurusan dan harta negara bagaikan diampun Tuhan kerana golongan agama bersama mereka.

Inilah hasil apabila kuasa politik dicampur dengan agama yang dikendalikan oleh mereka yang berkepentingan.

Politik Islam?

Di negara kita kini, lihat bagaimana ada pihak yang ‘so called’ agamawan yang sibuk membaca dalil kepada rakyat supaya bersyukur dan jangan membazir kerana itu amalan syaitan. Dalam masa yang sama tidak pula aktif membaca nas-nas ini kepada golongan atasan.

Persoalannya, apakah ayat-ayat Tuhan ini hanya ditujukan kepada rakyat bawahan? Sementara golongan atasan –samada sultan ataupun menteri- ayat-ayat Tuhan tidak terkena mereka? Ada agamawan yang menghalalkan darah orang bawahan yang berkumpul secara aman tanpa senjata. Kononnya mereka itu bughah yang dihalalkan bunuh. Padahal bughah adalah istilah mempunyai takrifan dan konteks yang tersendiri. Tidak dinamakan bughah yang boleh diperangi oleh pemerintah rakyat yang berkumpul tanpa senjata. Dalam konteks hari ini, apakah bughah rakyat yang masih membayar cukai dan mengikut pelbagai peraturan yang tetapkan oleh negara?

Kita mungkin boleh tidak bersetuju dengan perhimpunan itu tapi apakah patut untuk dihalalkan darah awam sedemikian rupa?

Lihatlah bagaimana agama boleh menjadi senjata kuasa politik sehingga perintah dibenarkan menumpah darah rakyat yang lemah. Saya tidak menyeru kepada pengasingan agama dari politik kerana itu bukan tabiat Islam. Pun begitu, jika agama sekadar senjata untuk kepentingan politik, lebih baik ia diasingkan.

Politik Islam itu bukan semestinya membaca dalil agama itu dan ini sedangkan intipatinya tidak memenuhi maksud rahmat dan keadilan yang menjadi tujuan ajaran Islam. Sekali lagi saya nukilkan kata-kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah:

“Berkata al-Shafi’i: “Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak”. Kata Ibn ‘Aqil: “Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu “Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak” iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.. apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agamaNYA.. bahkan Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNYA dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya.”


View the original article here

Sunday, June 29, 2014

Jiwa ‘Kehambaan’ Melayu Menghalang Pembaharuan

JIWA ‘KEHAMBAAN’ MELAYU MENGHALANG PEMBAHARUAN
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Dalam semangat sesetengah pihak untuk menegakkan ‘kedaulatan melayu’ maka berbagai-bagai slogan kemelayuan dikeluarkan. Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu sebab kitalah kaum asal di Nusantara ini. Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu kerana sejarah kesultanan dan kepahlawanan melayu. Apatah lagi ketika dunia hanya tinggal beberapa belas raja, sembilan daripadanya dimiliki oleh orang melayu.

Ada yang kata orang melayu itu istimewa disebabkan adat dan budaya. Berbagai-bagai lagi yang disebutkan dalam menuntut kemuliaan dan ketinggian kaum. Namun bagi saya, kemuliaan orang melayu yang sebenar dan kekal adalah kerana mereka menganut Islam. Mereka tidak kekal mulia dengan adat atau kesultanan atau budaya atau apa saja, mereka akan kekal mulia kerana akidah Islam dan jika mereka berpegang kuat dengan Islam.

Hari ini budaya dan bahasa melayu sudah banyak yang dilupa, sejarah kesultanan atau kepahlawanan melayu pun banyak perkara yang wajar dinilai semula. Adapun Islam, ia agama Allah yang sejagat, bukan hanya khusus di alam melayu atau hanya untuk orang melayu. Keberkatan dan kemuliaan akan dikurniakan kepada sesiapa yang berpegang dengannya sekalipun tanpa sejarah bangsa dan raja.

Firman Allah:

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan sesuatu menimpa mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (mereka itu) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka kegembiraan dalam kehidupan dunia dan akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada kalimat-kalimat Allah (janji-janjiNya), yang demikian itulah kejayaan yang besar. Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) didukacitakan oleh kata-kata mereka (yang menentang); kerana sesungguhnya segala kemuliaan bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha mengetahui. (Surah Yunus: 62-65).

Jikalah kepahlawanan melayu hendak dijadikan teladan, saya fikir banyak perkara yang perlu ditapis. Hang Tuah yang kononnya hidup pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka tentu tidak relevan lagi di zaman kita untuk dianggap wira dan teladan. Wataknya itu mungkin sesuai untuk masyarakat yang berpegang kepada feudalisme yang taat patuh kepada golongan bangsawan secara membuta tuli.


Gambar Hiasan

Daulat Raja

Hal yang sama berlaku juga dalam sejarah bangsa-bangsa feudalistik yang lain. Cerita tindakan Hang Tuah membawa lari Tun Teja dari Pahang untuk memenuhi ‘selera’ Sultan Melaka ketika itu, bukanlah tindakan yang terpuji. Ia salah dari segi nilai kesopanan, apatah lagi jika dinilai di sudut ajaran Islam.

Namun, masyarakat melayu ketika itu barangkali dapat menerimanya disebabkan kehendak ‘sultan’ atau ‘raja’ dalam masyarakat melayu itu mengatasi segala-galanya. Bahkan sultan atau raja bagi mereka mengatasi undang-undang dan peraturan. Dalam sejarah, bahasa dan adat yang digunakan oleh orang melayu di hadapan sultan atau raja menggambarkan sikap berlebih-lebihan dalam memuja raja serta menghina atau ‘menghambakan’ rakyat.

Ia sudah pasti tidak serasi dengan ruh ajaran Islam yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk, kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah. Dalam sejarah atau ‘lagenda’ kesultanan melayu juga, bukan sedikit tindakan sultan atau raja melayu yang amat menyanggahi keadilan, tidak masuk akal, sekaligus bercanggah dengan Islam.

Orang melayu dalam banyak keadaan mendiamkan diri dan berkata: “Kita rakyat, baginda raja”. Falsafah raja adalah ‘jelmaan tuhan’ yang dianuti oleh sesetengah agama, walaupun tidak disebut dalam masyarakat melayu, namun ia menjelma dalam penghayatan. Sehingga perkataan ‘daulat raja’ difahami sesetengah masyarakat bahawa tuhan menurunkan bencana kepada sesiapa yang tidak menghormati raja.

Bahkan adat-istiadat istana itu sendiri seperti cara ‘mengadap atau menyembah duli’ bukan berasal dari ajaran Islam. Walaupun Islam masuk ke dalam istana dan masyarakat melayu, tetapi berhubung dengan adat keistanaan, banyak yang belum berjaya diislamisasikan.

Tidak dinafikan golongan agama, ada yang berjaya mempengaruhi dan menasihati sesetengah raja melayu. Terdapat juga sultan-sultan melayu yang berpegang dengan Islam dan disanjungi kebaikan dan keadilan mereka. Namun, dalam banyak keadaan jiwa feudalistik melayu menghalang atau melambatkan proses mengislamisasikan pemikiran melayu berhubung dengan raja. Anasir itu ada yang berlarutan sehinggalah ke zaman moden ini.

Tokoh-tokoh politik berbangsa melayu samada pro-islam atau apa saja, bagaimana ‘sakan’ pun mereka mengkritik kerajaan; dari segi belanjawan, pembaziran, tindak-tanduk, pembahagian projek, kepatuhan kepada undang-undang dan agama dan berbagai hal yang lain, apakah mereka sanggup bertanya hal yang sama jika dikaitkan dengan ‘istana’. Jawapan sudah pasti tidak atau amat sedikit, walaupun memang banyak bisikan dalam senyap. Sehingga saya berjumpa sesetengah orang yang mengharamkan ‘yoga’ atas alasan kerana ada unsur agama lain antaranya merapatkan kedua belah tangan seperti ‘menyembah berhala’. Saya bertanya: “tidakkah perbuatan yang sama dilakukan dalam istiadat melayu mengadap raja?”. Dia menjawab: “oh itu lain, saya tidak mahu masuk campur”.


Gambar Hiasan

Raja Adil Raja Ditaati

Tulisan ini bukan menghina sejarah istana atau raja. Apa yang hendak saya tegaskan adalah kemuliaan kita apabila kita berpegang dengan Islam. Tiada masalah dengan istana atau kesultanan melayu. Saya hanya menyebut latar masyarakat kita. Institusi ini boleh dikekalkan seperti mana United Kingdom masih mengenalkan Queen mereka.

Namun, proses pembaharuan minda berkaitan istana masih diperlukan. Apatah lagi istana dianggap memayungi Islam. Banyak institusi-institusi Islam di bawah istana. Tiada penguasa yang tidak boleh dinilai dan ditegur untuk kebaikan diri mereka dan rakyat jelata. Sepertimana kerajaan ditegur dan dikritik, demikian juga raja dan sultan. Jika ia hal peribadi, ditegur secara tertutup dan peribadi. Jika ia hak atau isu awam, orang awam dan rakyat berhak menuntutnya.

Saya menyebut hal demi kebaikan institusi kesultanan itu sendiri, agar berkesinambungannya secara mulia dan dihormati rakyat. Dalam rekod melayu moden, orang melayu telah banyak mempertahankan institusi kesultanan mereka, walaupun tidak banyak keadaan yang menunjukkan sebaliknya. Adapun saya, tidaklah bersetuju dengan kata-kata Hang Jebat: “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Saya tidak bersetuju dengan perkataan ‘sembah’ yang disebut oleh Hang Jebat, sebab saya tidak menyembah raja. Saya kata: “raja adil raja ditaati, raja zalim raja dibantahi atau dinasihati”.

Tiada beza antara rakyat dan raja atau menteri atau bangsawan mana sekalipun di hadapan keadilan dan hak. Islam tidak pernah mengajar jiwa feudalistik yang meletakkan bagi bangsawan hukuman yang berbeza dengan rakyat. Rasulullah s.a.w menyebut:

“Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya seorang muslim, saya juga seorang melayu. Saya tidak nafikan orang melayu dan kesultanan kita ada keistimewaan yang tersendiri. Namun, saya percaya jika kita berbicara soal sejarah bangsa, setiap bangsa ada sejarah mereka. Jika soal budaya dan adat, setiap bangsa memilikinya. Jika soal bahasa dan sastera, setiap bangsa ada latar mereka.

Namun jika kita berbicara rahmat Allah yang menunjukkan Islam kepada orang melayu, ia adalah sesuatu yang istimewa. Ia membolehkan melayu itu bergabung dengan sejarah hidayah dan alam yang merentasi segala rupa bangsa dan budaya. Ia menjadikan kita bersaudara dengan berbagai bangsa di dunia atas kalimah Allah dan menjadikan kita merasai sejarah kegemilangan Islam sebahagian dari sejarah kita bersama. Cuma yang tinggal, sejauh manakah kita berjaya melayari bahtera keagungan Islam pada zaman yang mencabar ini?

Zaman sudah berubah. Minda dan cara fikir generasi baru juga sudah berbeza. Sejarah juga akan berubah. Sesiapa yang enggan berubah, mungkin dia diubah.


View the original article here