Pages


Showing posts with label islam. Show all posts
Showing posts with label islam. Show all posts

Thursday, July 3, 2014

Islam: Antara Hakikat Dan Hiasan

ISLAM: ANTARA HAKIKAT DAN HIASAN
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Apakah jenis Islam yang kita inginkan ataupun pentingkan? Islam yang hakiki yang berteraskan kepada intipati ataupun tujuan syariat Islam itu diturunkan oleh Allah? Ataupun Islam hiasan yang kelihatan pada luaran kulitnya atau cosmetic adjustments padahal intipati (essence) tidak memenuhi tujuan asal Islam itu sendiri?

Dahulu Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali (w. 505H) menulis kitabnya yang terkenal Ihya ‘Ulum al-Din bagi menangani penghayatan Islam tanpa roh yang sebenar. Tujuan beliau menangani perbahasan fekah yang kontang tanpa isi kerohanian dalam menghayati ibadah. Al-Imam Abu Ishaq Al-Syatibi (w. 790) telah menulis al-Muwafaqat membahaskan Maqasid al-Syariah (The Highest Objectives and intents of Islamic Law) bagi menjelaskan apakah tujuan utama di sebalik syariah yang kita lihat dan amalkan.

Dalam Radical Reform, Prof. Tariq Ramadan menolak apa yang dinamakan Islamic economy, Islamic politic, Islamic medicine dan seumpamanya. Beliau menolak istilah-istilah ini. Beliau menyatakan tiada sama sekali apa yang dinamakan Islamic economy sebaliknya yang ada hanyalah garis panduan umum serta falsafah bagi tujuan ekonomi yang ditetapkan oleh Islam. Bagi beliau tiada yang dinamakan Islamic economy, sebaliknya yang ada ialah etika Islam dalam ekonomi. Kata beliau “There is no Islamic economy, therefore, but an Islamic ethics of the economy”.

Hiasan

Ia mungkin soal pengistilahan, tetapi yang hendak ditekankan, apakah faedahnya meletakkan nama Islam untuk ekonomi, perubatan dan seumpamanya, padahal ia hanya satu hiasan luaran bukan hakikat yang hendak dicapai oleh syariat Islam itu sendiri. Jika dinamakan perbankan Islam, tapi unsur penindasannya sama dengan yang tidak bernama Islam, hanya sekadar istilah arab dan syariah sahaja yang dipentingkan, apalah maknanya? Allah tidak memerlukan harta kita, Allah mahu kita tidak zalim dan tidak menindas antara satu sama lain.

Pakaian, istilah, hiasan, corak dan bahasa yang dikaitkan dengan Islam tidak memberi erti jika tidak memenuhi tujuan asal ataupun matlamat syariat Islam dalam perkara yang berkaitan. Saya berikan satu contoh di sini, sebuah kedai makan yang bersih dan selamat makanannya tanpa memperlihatkan ciri-ciri zahir agama lebih memenuhi tuntutan Islam dibandingkan sebuah kedai makan yang peniaganya berkopiah dan dindingnya bergantungan ayat-ayat al-Quran tetapi tidak bersih dan kualiti makanannya di tahap yang rendah.

Bagi seorang peniaga makanan, menyediakan makanan yang bersih dan selamat adalah satu kewajiban. Itulah intipati tanggungjawab seorang peniaga makanan. Sementara memakai kopiah dan mengggantung ayat al-Quran di dinding bukanlah satu tuntutan. Ia satu pilihan. Bahkan kadang-kala ia boleh menjadi satu cara penipuan jika ada tujuan yang tidak jujur. Sabda Nabi:

“Muslim saudara muslim. Tidak halal seorang muslim menjual kepada saudaranya suatu jual yang ada kecacatan tanpa diterangkan” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll. Al-Hakim menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).

Tipu

Apabila kita membaca hadis Nabi s.a.w yang bersabda: “Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertaqwa, berbuat kebaikan dan benar” (Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dalam al-Mustadrak dll. Al-Hakim menyatakan sanadnya sahih. Ia dipersetujui oleh al-Zahabi) kita tahu yang jahat ialah sesiapa yang menipu pelanggan. Dalam konteks kedai makan penipuan adalah makanan yang kotor dan tidak selamat. Tidak dikatakan penipu orang yang tidak memakai kopiah ataupun tidak menghiasi kedainya dengan ayat-ayat al-Quran.

Memakai kopiah dan menggantungkan ayat al-Quran itu merupakan hak peniaga atas premisnya. Namun jika itu semua dilakukan untuk menarik pelanggan supaya merasa kedai makannya mengikut ajaran Islam sedangkan hakikat tidak, maka itu satu penipuan.

Lebih baik dia jangan meletakkan ayat-ayat Tuhan di dinding jika itu sekadar mengelirukan pelanggan. Dia bagaikan menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah. Mungkin bagi muslim mereka dapat bezakan antara perangai orang yang tidak ikut ajaran Islam dengan kesucian ayat yang digantung. Namun bagi non-muslim mungkin mereka akan salah sangka dengan Islam. Suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:

“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).

Intipati

Demikian juga Islam tidak pernah menetapkan jenis masakan. Bukanlah masakan arab itu lebih disukai Allah dibandingkan masakan Barat. Seseorang yang suka makanan arab tidak bererti dia lebih soleh daripada yang suka makanan melayu ataupun Barat. Apa yang Allah sebut dalam al-Quran:

“dan makan dan minumlah, tapi jangan berlebihan, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebihan”. (Surah al-A’raf, ayat 31).

Jika kita lihat dalam urusan pentadbiran, apakah yang menjadi tujuan pengurusan pentadbiran dalam Islam? Islam tidak pernah mendetilkan rupa paras politik Islam, sebaliknya hanya memberikan garis panduan umum sahaja. Pentadbiran dan politik dalam Islam samada hendak dinamakan etika Islam dalam politik ataupun politik Islam, terpulang. Namun perkara yang menjadi tujuan Islam dalam politik ialah kemaslahatan negara. Bukan kemaslahatan pemimpin ataupun parti tertentu sahaja, sebaliknya ialah kemaslahatan umum untuk semua negara. Pengurusan pentadbiran dalam Islam berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah ataupun efficiency and accountability. Jika sesiapa sahaja mampu mencapai pengurusan yang amanah dan cekap dalam ertikata yang Islam kehendaki, maka dia telah menunaikan maksud dan tujuan pentadbiran politik dalam Islam. Firman Allah:

“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).

Bagaimanakah reka bentuk kerajaan dan pendekatan yang hendak diambil dalam mencapai maksud amanah dan cekap itu, Islam tidak tetapkan. Asalkan ia adil, tidak zalim atau tidak menyanggahi prinsip-prinsip umum Islam maka segala pendekatan dan cara boleh diambil.

Islam tidak pernah menetapkan pemimpin itu mesti bergelar mullah ataupun ustaz ataupun ulama. Tidak pula mesti berjubah dan berkopiah. Tidak pula ditentukan mesti nama-nama negeri, kampong, pejabat ditukar kepada istilah-istilah arab. Jika ulama dilihat mampu membawa kepada ketelusan dan kecekapan pentadbiran maka mereka dilantik. Jika selain ulama lebih mampu, mereka dilantik. Apa yang al-Quran tegaskan : (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Dalam minat yang tinggi rakyat kita untuk kembali kepada Islam, mereka hendaklah dapat membezakan antara hakikat dan hiasan. Bukan hiasan itu tidak perlu, tetapi hiasan itu hendaklah menggambarkan hakikat. Jika hiasan itu tidak menggambarkan hakikat maka itu penipuan dan ia bukan tujuan asal Islam yang Tuhan kehendaki.


View the original article here

Tuesday, June 17, 2014

Islam Membentuk Minda Kritis

ISLAM MEMBENTUK MINDA KRITIS
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Jika seseorang ingin membaiki sesuatu perkara atau peralatan, dia terlebih dahulu hendaklah ada pengetahuan atau ilmu mengenainya. Jika tidak nanti, niatnya yang baik untuk membaiki itu akan menatijah kerosakan semata, bukan memulihkan. Ini yang disebut sebagai tikus membaiki labu, atau tukang besi membaiki komputer. Tanpa ilmu, bukan bertambah baik tetapi bertambah rosak. Islam juga demikian. Niat yang baik semata untuk mempertahan atau menyampaikan ajaran yang agung ini tidak memadai jika yang melaksanakan tugasan itu tidak cukup pengetahuan dalam perkara yang disampaikan tersebut.

Saya tidak menyatakan seseorang yang hendak berdakwah menyampai mesej Islam mesti menjadi sarjana besar terlebih dahulu. Tidak! Sama sekali tidak. Tetapi, dia hendaklah faham dengan baik bab atau perkara yang disampaikan itu. Umpamanya, jika dia bercakap mengenai cara sujud dalam solat, maka dia jelas tentang hadis-hadis mengenai perkara tersebut. Jika dia bercakap pendirian Islam terhadap penganut agama lain, dia juga hendaklah jelas dan faham dalam perkara tersebut. Tidak boleh hanya berpijak kepada maklumat yang dikutip tanpa kepastian, atau tidak boleh pulak bercakap hanya atas sesuatu sentimen semata. Firman Allah:

(maksudnya) “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutku menyeru kepada agama Allah berdasarkan bukti yang jelas nyata. Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuf: ayat 108).

MIMPI BUKAN HUJAH AGAMA

Saya amat dukacita apabila ter’tonton’ satu siaran televisyen di bawah nama ‘Sirah’ di mana seorang ‘ustazah’ telah menceritakan perihal kelahiran wanita terkenal Rabi‘ah al-‘Adawiyah. Kononnya, semasa kelahirannya, keluarga begitu miskin dan bapa malu hendak meminta bantu jiran tertangga. Pada malamnya, bapanya bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w yang menyuruh beliau meminta wang 400 dirham dari Gabenor Basrah. Kononnya, Rasulullah s.a.w suruh beliau menyatakan kepada gabenor berkenaan: “Wahai Gabenor! Engkau biasanya berselawat pada malam Jumaat sebanyak 400 kali, namun pada hari Jumaat yang lepas engkau telah menguranginya, maka engkau pun didenda dengan membayar 400 dirham kepada bapa Rabi‘ah”.

Cerita yang seperti ini, mungkin dikutip oleh ‘ustazah’ berkenaan daripada mana-mana sumber yang tidak boleh dipegang. Ia mencemarkan Islam dengan menggambarkan seakan Nabi s.a.w itu ‘kaki pau’ yang akan memeras atau mengambil kesempatan atas kelemahan seseorang yang hakikatnya bukan kesalahan pun. Kemudian, kisah ini cuba menetapkan khasiat berselawat 400 kali pada malam Jumaat, padahal tiada satu hadis pun yang menetapkan bilangan tersebut. Lebih daripada itu semua, mimpi bukanlah hujah dalam Islam sehingga boleh diperas harta orang lain beralasankan mimpi. Apakata nanti, jika ada orang yang mengugut kita menyuruh kita memberikan wang kepadanya atas alasan dia bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan baginda memerintahkan kita memberikan wang kepadanya.

Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) selemah-lemah hujah mereka (puak bid‘ah) adalah puak yang mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata:

“Kami bermimpi lelaki soleh tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!, buat ini”. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Dalam kalangan mereka ada yang berkata: “Aku melihat Nabi s.a.w dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini.. dan memerintah aku sebegini”. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari`at. Ini adalah salah, kerana mimpi individu selain nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika syarak membolehkan, maka ia diamalkan, jika tidak, ditinggalkan”.(Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada dalam kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang dengan dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti dari hujah yang baik atau akal atau wahyu. Golongan sufi ini mencerca mereka dengan menyatakan mereka ini jumud dengan ilmu zahir. Bagi mereka; ilmu zahir kedudukannya seperti kulit, sedang ulama syariat berpaling daripada ilmu batin yang mana kedudukannya seperti isi”.( Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, Beirut: Muassasah al-Risalah).

CERITA KARTUN BUAH EPAL

Demikian juga cerita-cerita yang bersifat ke’kartun’an seperti kononnya ada seorang wali Allah yang memakan epal yang hanyut dalam sungai. Kemudian dia mencari tuan punya epal tersebut untuk meminta halal daripadanya, tetapi tuan kebun tersebut mensyaratkan hendaklah berkahwin dengan anak perempuannya. Dia memberitahu anaknya itu bisu, pekak, buta dan berbagai kecacatan yang lain. Demi mendapat ‘sijil halal’ epal yang dimakannya itu terpaksalah si wali tersebut berkahwin dengan anak empunya kebun epal tersebut. Konon akhirnya didapati anaknya itu sempurna dan cantik.

Cerita yang seperti ini mencemarkan dataran Islam yang bersih. Perkahwinan dalam Islam boleh dipaksa atas nama menghalalkan sebiji epal. Epal yang hanyut dan terdedah kepada rosak boleh dimakan dari dibazirkan. Jika pun ada tuntutan, boleh dibayar dengan harga sebiji epal, bukan dipaksa kahwin. Bayangkan jika seserang memandu kereta lalu terlanggar kereta orang lain dan tuannya tidak mahu memaafkan melainkan dia mesti berkahwin dengan anak tuan kereta tersebut yang betul-betul ‘tidak menawan’. Apakah itu jalan mendapatkan ‘kehalalan’ atas sesuatu kesilapan yang tidak berkaitan?. Menghidangkan cerita-cerita yang seperti ini untuk orang ramai –walaupun dengan niat yang baik- hanya membuatkan Islam disalahtafsirkan sahaja.

PEDANG KHUTBAH?

Begitulah juga apabila ada pandangan seketika dulu agar khatib yang berkhutbah memegang pedang sebagai lambang kekuatan. Tindakan yang seperti itu boleh menyebabkan Islam disalahtafsirkan terutama di zaman kita ini yang mana Islam dilebelkan oleh media khurafat Barat sebagai agama keganasan.

Saya tertarik dengan kata-kata al-Hafiz al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

Nabi s.a.w tidak pernah memegang pedang atau selainnya (ketika berkhutbah). Hanya baginda memegang anak panah atau tongkat sebelum dibuat mimbar. Baginda (ketika berkhutbah) dalam peperangan memegang anak panah dan ketika Jumaat memegang tongkat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda memegang pedang. Apa yang disangka oleh sesetengah golongan jahil bahawa baginda sentiasa memegang pedang sebagai tanda bahawa Islam ditegakkan dengan pedang adalah kejahilan yang teramat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda selepas dibuat mimbar menaikinya dengan pedang, atau anak panah atau selainnya. Tidak juga sebelum dibuat mimbar baginda memegang pedang di tangannya sama sekali. Hanya baginda memegang tongkat atau anak panah (Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma‘ad, 1/439, Beirut: Muassasah al-Risalah).

BERHUJAH DENGAN MATANG

Atas dasar sebagai agama hujah dan fakta yang tegak membela kebaikan manusia sejagat kita mengizin semua pihak termasuk agama lain berhujah secara harmoni dan baik. Islam bukan macam sesetengah pihak yang jika ada orang berbeza pendapat dengan ustaz-ustaz mereka terus sahaja dilebelkan sebagai ‘wahhabi’ ataupun liberalist ataupun seumpamanya. Islam agama yang sudi mendengar hujah dan alasan. Firman Allah:

(maksudnya) “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahlul Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, kami berserah diri.” (al-Ankabut: ayat 46).

Firman Allah juga:

(maksudnya) Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).


View the original article here

Tuesday, November 27, 2012

9 Sebab Israel Mahukan Gencatan Senjata Lebih Awal



Bagaimana tentera zionis meratap kematian…

Israel terpaksa mendesak pihak ke 3 agar diadakan gencatan senjata awal setelah mereka mengganas selama ‘hanya’ 8 hari dan telah mengorbankan ‘hanya’ 161 syuhada’ rakyat Palestin.

Sedangkan serangan Gaza 2008-2009 berlangsung selama 22 hari dan telah mengorbankan lebih 1450 orang rakyat Palestin di Gaza.


Apa tidaknya ?

1-Roket al Qassam menemui sasaran strategiknya sehingga ke Tel Aviv dan Jerusalem (74 km) sedangkan kemampuan roket ini hanya 40-50 km pada tahun 2009.

2-Ben Gurion International Airport terpaksa memberhentikan operasinya selama beberapa hari disebabkan roket al Qassam

3-Roket juga telah memaksa warga penjajah Israel tinggal di bawah tanah dengan ketakutan selama 8 hari dan operasi kerja harian kerajaan dan swasta dibatalkan sepanjang 8 hari yang lalu.
israel f16 Igauan Israel menjadi realiti...

Jet pejuang F16 adalah di antara habuan roket al Qassam

4-Buat kali pertama, roket al Qassam juga berjaya menjatuhkan jet pejuang F16 bersama juruterbangnya ke perairan Gaza. Ini adalah kali pertama dalam sejarah perang Israel.

5-Roket al Qassam juga berjaya menjatuhkan helikopter Apache, drone dan berjaya mensasarkan kapal perang Israel sebagai destinasi roket ini.

6-Unit R & D IDF telah mendapati bahawa roket al Qassam yang sampai ke Tel Aviv adalah buatan tempatan (bukan dari Iran dsb). Ini membuktikan kemampuan unit R & D al Qassam mengeluarkan roket mereka sendiri.

7-Iron-Dome yang merupakan sistem penangkis peluru berpandu yang tercanggih Israel (dengan bantuan US) hanya berjaya menangkis 20-25 % daripada lebih 1400 roket al Qassam yang sampai ke Israel.

8-Israel terpaksa menggesa gencatan senjata terlebih awal miski pun Briged al Qassam baru menggunakan kira-kira 15 % daripada keseluruhan roket yang dipersiapkan kali ini.

9-Keterlibatan Mesir dan Turki yang memberikan sokongan secara terbuka kepada Palestin amat menakutkan Israel miski pun mereka belum memberikan sokongan ketenteraan kepada Palestin. Apatah lagi sekiranya negara-negara Arab dan negara umat Islam yang lain turut memberikan sokongan kepada mereka.
Ingatilah firman Allah swt :
Surah al-Imran ayat 54

“Dan Mereka Merancang(tipu daya),Allah juga merancang(membalas tipu daya),Dan ALLAH sebaik-baik Perancang(membalas tipu daya)”

Subhanallah, alhamdulillah, Allah akbar….