Pages


Monday, August 5, 2013

7 Keistimewaan Lailatul Qadar

Daku Amat Menyintai Mu

SETIAP hamba Allah yang soleh/solehah pasti menginginkan malam penuh kemuliaan, iaitu malam al-Qadar atau Lailatul Qadar yang hanya didapati setahun sekali di dalam bulan Ramadhan. Orang yang istiqamah beribadah sepanjang tahun tentu lebih mudah mendapatkan kemuliaan dan keberkatan malam tersebut kerana ibadahnya yang dilakukan secara tetap (rutin) berbanding dengan orang yang beribadah jarang-jarang.

Lailatul Qadar Malam Kemuliaan Dan Keberkatan
Yang Hanya Terdapat Di Dalam Bulan Ramadhan

Terdapat banyak sekali kelebihan dan keistimewaan Lailatul Qadar yang hanya Allah Taala saja yang Maha Mengetahui akan kelebihan-kelebihannya. Namun dalam entri ini kita akan melihat 7 keistimewaan Lailatul Qadar yang begitu utama dari malam lainnya.

Padahal bagi orang yang benar2 ikhlas beramal kerana Allah Taala dan mahu mendapat ganjaran yang dijanjikan Allah pada malam yang penuh keberkatan ini, dengan satu keistimewaan pun sudah cukup untuk mereka beramal dengan bersungguh-sungguh.

1. Lailatul Qadar adalah waktu diturunkannya Al Qur’an.
Menurut Ibnu ‘Abbas dan lain-lainnya mengatakan, “Allah menurunkan Al Qur’an secara utuh sekaligus dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah yang ada di langit dunia. Kemudian Allah menurunkan Al Qur’an tersebut kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, secara terpisah (yakni beransur-ansur) sesuai dengan kejadian-kejadian yang terjadi(Asbabun Nuzul) selama 23 tahun.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 14: 403).

Ini sudah menunjukkan keistimewaan Lailatul Qadar.

2. Lailatul Qadar lebih baik dari 1000 bulan.
Allah Ta’ala berfirman;

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (QS. Al Qadar: 3).

An Nakha’i mengatakan, “Amalan di Lailatul Qadar lebih baik dari amalan di 1000 bulan.” (Latha-if Al Ma’arif, hal. 341). Mujahid, Qotadah dan ulama lainnya berpendapat bahawa yang dimaksud dengan lebih baik dari seribu bulan adalah solat dan amalan pada Lailatul Qadar lebih baik dari solat dan puasa di 1000 bulan yang tidak terdapat Lailatul Qadar. (Zaadul Masiir, 9: 191).

Ini sungguh keutamaan Lailatul Qadar yang luar biasa.

3. Lailatul Qadar adalah malam yang penuh keberkatan.
Allah Ta’ala berfirman;

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).” (QS. Ad-Dukhan: 3).

Malam penuh berkat ini adalah malam ‘Lailatul Qadar’ dan ini sudah menunjukkan keistimewaannya.

4. Malaikat dan juga Ar Ruuh iaitu malaikat Jibril turun pada Lailatul Qadar.
Keistimewaan Lailatul Qadar ditandai pula dengan turunnya malaikat. Allah Ta’ala berfirman;

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا 

“Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).” (QS. Al Qadar: 4)

Banyak malaikat yang akan turun pada Lailatul Qadar kerana itu banyaknya berkat pada malam tersebut. Turunnya para malaikat menandakan turunnya berkat dan rahmat. Sebagaimana malaikat turun ketika ada yang membaca Al Qur’an dan juga malaikat akan mengelilingi orang-orang yang berada dalam majlis zikrullah iaitu majlis yang ada menyebut dan membesarkan Allah. Dan malaikat akan membentangkan sayap-sayap mereka pada orang yang duduk dalam majlis zikrullah itu kerana malaikat sangat mengagungkan mereka. (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 14: 407)

Malaikat Jibril disebut 'Ar Ruuh' di dalam surah Al Qadar untuk menunjukkan kemuliaannya (keutamaan) berbanding malaikat-malaikat yang lain.

5. Lailatul Qadar disifati dengan ‘salaam’.
Yang dimaksud ‘salaam’ dalam ayat;

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْر

“Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (QS. Al Qadr: 5)

Iaitu malam tersebut penuh keselamatan di mana syaitan tidak dapat berbuat apa-apa di malam tersebut. Demikianlah kata Mujahid (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 14: 407). Juga dapat bererti bahawa malam tersebut, ramai yang selamat dari hukuman dan siksaan Allah kerana mereka melakukan ketaatan pada Allah (pada malam tersebut).

Sungguh hal ini menunjukkan keutamaan luar biasa dari Lailatul Qadar.

6. Lailatul Qadar adalah malam dicatatnya takdir tahunan.
Allah Ta’ala berfirman;

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ

“(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)." (QS. Ad Dukhan: 4).

Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya (12: 334-335) menerangkan bahawa pada Lailatul Qadar akan dirinci di Lauhul Mahfuzh mengenai urusan takdir dalam setahun, juga akan dicatat ajal dan rezeki serta dicatat segala sesuatu hingga akhir dalam setahun. Demikian diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar, Abu Malik, Mujahid, Adh Dhahhak dan lain-lain.

Namun perlu dicatatkan di sini, sebagaimana keterangan dari Imam Nawawi dalam Syarh Muslim (8: 57), bahawa catatan takdir tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu Allah. Takdir ini nantinya akan ditampakkan pada malaikat dan ia akan mengetahui apa yang akan terjadi, lalu ia akan melakukan tugas yang diperintahkan untuknya.

7. Dosa orang menghidupkan malam ‘Lailatul Qadar’ akan diampuni Allah.
Dari Abu Hurairah, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, bersabda;

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Barangsiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni." (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar Al Asqalani mengatakan bahawa yang dimaksud ‘iimaanan’ (kerana iman) adalah membenarkan janji Allah iaitu pahala yang dijanjikan (bagi orang yang menghidupkan malam tersebut). Sedangkan ‘ihtisaaban’ bermakna mengharap pahala (dari sisi Allah), bukan kerana mengharap yang lainnya, contohnya berbuat riya’. (Fathul Bari, 4: 251).

Allahu'alam.

Ya Allah, mudahkanlah kami meraih keistimewaan Lailatul Qadar dengan mengisi hari-hari terakhir bulan Ramadhan ini dengan amal-amal solih. Aamin Yaa Mujibas Saa-ilin. Copy from : http://dakuamatmenyintaimu.blogspot.com