Pages


Showing posts with label Hamka. Show all posts
Showing posts with label Hamka. Show all posts

Friday, June 20, 2014

Prof Hamka: Semangat Ayah Dan Fitnah

PROF HAMKA: SEMANGAT AYAH DAN FITNAH
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Kembali kita membicarakan tentang Prof Hamka dan ayahnya Haji Rasul. Pada siri yang lepas kita lihat bagaimana semangat ayahnya yang bangkit menghadapi penyelewengan Tarikat Naqsyabandi di tempat mereka.

Ini bukan bererti Hamka ataupun ayahnya menolak Tasawuf, namun ilmu tasawuf yang diterima ialah yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah yang bebas dari karut marut yang tiada asalnya dari dua sumber yang agung itu. Hal ini disebut oleh Hamka:

“..yang penting ertinya untuk menentukan persimpangan jalan di antara tasawuf yang asli menurut sunah, dengan tasawuf yang sudah bercampur aduk dengan perbuatan yang membawa kepada wasilah, iaitu mengadakan perantaraan di antara seorang hamba dengan Tuhannya, dengan tasawuf yang tetap berpegang pada pengkalan Tauhid, iaitu mengadap Tuhan secara langsung, tidak melalui perantaraan” (Prof Hamka, Ayahku, m/s 114. Selangor: Pustaka Dini 2007)

Ayahnya juga membetulkan amalan masyarakat Padang ketika itu berkaitan pengurusan jenazah. Amalan kenduri arwah yang menjadi adat masyarakat melayu di sana dibantah oleh ayahnya Tuan Rasul seperti yang dicatatkan oleh Prof Hamka tentang peristiwa kematian datuknya. Kata Prof Hamka:

“Sebagai anak yang mencintai ayah, beliau turut bersama saudara-saudaranya yang lain memandikan ayahnya, bersama-sama juga adik ayahnya (amminya). Tetapi setelah penghulu-penghulu dan ulama-ulama, tuanku-tuanku dan lebai-lebai di seluruh Danau memutuskan hendak mengadakan kenduri kerana kematian itu, beliau menyatakan pendirian yang tegas, bahawa kenduri kerana kematian adalah haram dalam agama, wahsyah namanya. Sama hukum dengan meratap. Yang berasal dari agama hanyalah jika orang pergi menjenguk kematian membawa makanan untuk orang yang tengah ditimpa dukacita itu, sebaiknya makanan dimasak. Fatwa ini dilancarkannya disuraunya di Muara Pauh” (Ibid m/s 117).

Dalam suasana yang penuh semangat dan melalui pelbagai rintangan, Hamba membesar sebagai anak seorang dai yang berusaha melakukan islah dalam masyarakatnya.

Semangat Ayah

Semangat perjuangan ayahnya menyerap masuk ke dalam jiwanya. Ini dapat kita lihat apabila Prof Hamka menceritakan pengalaman ayahnya dengan penuh semangat.

Umpamanya, ketika Prof Hamka mencerita bagaimana ‘ulama-ulama tua’ (istilah digunakan Hamka) menentang kedatangan ayahnya ke Tanah Melayu pada tahun 1916. Kedatangan ayahnya ditentang oleh mufti-mufti Tanah Melayu. Hamka memetik kata-kata ayahnya:

“Menjadi mufti dalam kerajaan-kerajaan melayu itu sangatlah megahnya. Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri. Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah, dan kalau beliau ingin hendak kahwin bismillah”.

Seterusnya Prof Hamka mengulas:

“Sebelum beliau datang telah keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti-pen) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, wahabi, kaum muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari mazhab Syafi’I”. (Ibid m/s 160)

Prof Hamka juga menceritakan bagaimana beliau nekad seperti ayahnya:

“Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi’i. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya. Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi’i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa…alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!” (Ibid m/s 162).

Cabaran

Gerakan pembaharuan yang dibawa oleh Prof Hamka dan tokoh-tokoh pembaharuan Nusantara yang lain pasti menimbul keadaan yang tidak selesa golongan agama yang setia ada dan yang mereka yang ingin mempertahankan status qua dalam masyarakat. Maka, pelbagai tuduhan mula dilemparkan kepada gerakan pembaharuan dan usaha-usaha tajdid yang mereka jalankan. Bermula dengan gelaran ‘kaum muda, wahabi, sesat, tidak hormat ulama, menghina mazhab Syafi’i dan lain-lain lagi.

Prof Hamka telah menjawab fitnah-fitnah yang dilontarkan. Dengan tegas Prof Hamka membalas tohmahan-tohmahan itu, antaranya beliau berkata:

“Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam Kerajaan Turki. Bukunya ‘Shawahidul haq’ penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan…kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua”.

Katanya lagi:

“Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah! Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak. Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu. Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin (kelompok sufi-pen) ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya-muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau inipun tidak pula lepas daripada serangan. Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda”

Kata Hamka lagi:

“Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali dan memang mazhab Hanbali terkenal mazhab yang keras mempertahankan sunah. Dan yang berpengaruh memperbaharui faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.” (Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, 76-77. Selangor: Pustaka Dini 2009).

Tidak Hormat Ulama

Antara fitnah yang dikenakan ke atas gerakan pembaharuan Indonesia dan juga di Tanah Melayu ketika itu ialah tuduhan bahawa golongan pembaharuan tidak hormati ulama. Prof Hamka menjawab:

“Kadang-kala dikatakan Kaum Muda tidak hormat kepada ulama. Padahal yang mereka katakan ulama itu bukanlah Imam Malik atau Imam Syafie, tetapi beberapa pegawai kerajaan yang memakai serban dan jubah. Dan beliau pun merasakan dirinya ulama kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah” (Ibid m/s 66.).

Golongan yang menentang usaha pembaharuan cuba memberikan gambaran salah kepada masyarakat awam kononnya golongan pembaharuan itu menghina al-Imam al-Syafi’i. Padahal yang disebut oleh golongan pembaharuan ialah kembali kepada teks asal al-Imam al-Syafi’i untuk melihat sejauh manakah benarnya dakwaan kononnya amalan setempat itu berasaskan pendapat al-Imam al-Syafi’i. Di samping golongan pembaharuan mengajak melihat Islam lebih luas dari kerangka satu mazhab sahaja, sebaliknya mengambil manfaat ilmu dari tokoh-tokoh ulama muktabar dari pelbagai latar mazhab. Apa yang ditekankan oleh golongan pembaharuan ialah usaha berdamping dengan dalil-dali al-Quran dan al-Sunnah yang dibincangkan oleh imam-imam yang besar. Ini dibimbangi oleh ‘kaum tua’ takut-takut amalan dan pendapat mereka akan disangkal oleh masyarakat. Maka, isu tidak menghormati ulama pun ditimbulkan. Prof Hamka menjawab:

“Kedua, kata orang kami tidak menghormati ulama…hal ini saya huraikan dengan saksama, kaum muda amat hormat kepada: ulama. Kaum-muda insaf bahawa pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, manakan sampaikan ke tangan kita kalau bukan lantaran ulama. Kami sangat patuh kepada ulama ikutan kita keempat-empatnya: Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal. Demikian cinta hormati kami kepada beliau-beliau sehingga kalau ada ulama yang menjadi pengawal di luar yang mencuba-cuba menghalangi kami buat bertemu dengan pendapat-pendapat beliau-beliau, kami sirwak (memalukan) apa ulama lain itu, dan kami berkata kepinggirlah engkau! Kami hendak bertemu dengan beliau keempat-empatnya (imam empat) menyuruh kami meneruskan perjalanan ke atas, ke hulu agama: kepada al-Kitab dan as-sunnah dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh orang yang terdekat kepadanya, iaitu sahabat-sahabat Rasulullah. Padahal tatkala kami masih di muara-muara, banyak benar yang menghalangi. Datang syeikh fulan dan sudah jauh di bawah mutaakhirin (kebelakang), bahkan mutaakhiril mutaakhirin (kebelakang dari yang belakang) melarang keras! Jangan pergi ke hulu. Jangan! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang-halangi lagi. Maka dituduhlah kami sesat, siapa kita yang sesat? (Ibid m/s 63)

Saya akan sambung perbincangan pada siri berikutnya in sha Allah.


View the original article here

Wednesday, June 18, 2014

Cabaran Perubahan Dan Peranan Prof Hamka

CABARAN PERUBAHAN DAN PERANAN PROF HAMKA
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Minggu lepas telah diadakan seminar tentang ‘Buya Hamka yang merupakan tokoh ilmuwan Nusantara yang terbilang. Terima kasih Imam Muda Asyraf yang menjadi penganjur dan turut menjemput saya membentang satu tajuk berkaitan tokoh agung itu. Saya bincangkan tentang Prof Hamka dan perjuangannya dalam merubah cara fikir masyarakat. Saya ingin kongsikan dalam tulisan kali ini dan yang akan datang tentang usaha pembaharuan yang Prof Hamka menyahut cabarannya.

Jiwa Perubahan

Sebenarnya, dalam kalangan manusia ini ada insan-insan yang memang seakan terpilih untuk melakukan tanggungjawab membaiki masyarakat mereka. Allah bekalkan dalam diri mereka ini jiwa yang besar, keberanian, kesanggupan menghadapi rintangan dan ketidakmampuan berdiam diri melihat kepincangan masyarakat mereka. Ketika orang lain takut dan tidak sanggup menghadapi reaksi balas masyarakat, atau gagal untuk berfikir ke arah perubahan yang lebih baik, golongan pembaharuan ini tampil membayar harga yang mahal, mengharungi cabaran dan ancaman demi merubah apa yang mereka yakini salah. Mereka menjadi pejuang yang dalam hayat mereka terpaksa mengharungi pelbagai tribulasi demi misi yang hendak mereka capai. Ada dalam kalangan mereka yang melihat kejayaan semasa hidup, ada yang hanya dikenang setelah mereka tiada lagi di dunia ini. Golongan ini akan sentiasa wujud untuk menyelamatkan umat manusia. Mereka adalah kurnia Allah untuk kebaikan insan.

Dalam konteks yang lebih luas, pembaharuan bukan sahaja berlaku dalam kalangan umat Islam, tetapi juga berlaku dalam kalangan mereka yang bukan muslim. Allah takdirkan banyak bangkit para pejuang yang cuba menyelamatkan ketidakadilan dan kekejaman yang berlaku dalam masyarakat mereka. Tokoh-tokoh seperti Martin Luther, Gandhi, William Wilberforce, Nelson Mandela dan lain-lain merupakan rahmat Tuhan kepada hamba-hambaNYA. Mereka telah mengorbankan diri untuk menghalang kezaliman ke atas orang lain. Mereka patut dipuji, dikenang dan disanjung.

Tajdid

Dalam konteks Islam, kita lihat ramai golongan revivalist yang melakukan tajdid ataupun pembaharuan. Dalam pelbagai bidang tokoh-tokoh tajdid dalam umat ini muncul. Dalam hadis disebut:

“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan pada kepala setiap seratus tahun sesiapa yang akan membaharukan untuk umat ini agama mereka” (Riwayat Abu Daud, sahih)

Sepanjang sejarah, tokoh-tokoh atau gerakan tajdid muncul melaksanakan berbagai usaha dan menghadapi berbagai cabaran. Berbagai-bagai bidang tajdid dilakukan demi kebaikan umat. Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz ialah tokoh tajdid (mujaddid) yang disepakati umat. Kemudian muncul berbagai tokoh lain yang dianggap mujaddid; seperti al-Imam al-Syafi’i (meninggal 204H), al-Ghazali (meninggal 505H), al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dan lain-lain. Perkataan ‘man’ (sesiapa) dalam hadis di atas mencetuskan berbagai tafsiran di kalangan sarjana. Mereka membahaskan apakah ia bermaksud ‘seorang’ setiap kurun, atau ramai tetapi bertebaran di berbagai tempat dan negeri yang berbeza, atau ia bermaksud gerakan dan seumpamanya. Ini seperti yang disebut oleh Ibn Athir (w. 606H) dalam Jami’ al-Usul fi Ahadith al-Rasul bahawa tidak semesti bagi setiap kurun itu seorang lelaki, boleh jadi seorang, boleh jadi juga ramai. Tidak semestinya tokoh-tokoh fekah sahaja, boleh jadi juga tokoh-tokoh politik, ulama al-Quran, ulama hadis, pendakwah, golongan zuhud dan selain mereka. Ini kerana setiap kaum mempunyai keperluan dalam bidang tertentu yang mungkin berbeza dengan kaum yang lain. Ini berdasarkan tuntutan semasa. Tujuannya tajdid itu memelihara agama, kerukunan politik, menyebarkan keadilan dan keinsafan yang dapat memelihara masyarakat (lihat: 11/319. Dar al-Bayan).

Kata al-Imam Ahmad bin Hanbal-dengan meriwayat hadis melalui sanadnya-:

“Sesungguhnya Allah menentukan untuk manusia pada permulaan setiap seratus tahun sesiapa yang mengajar mereka sunnah, dan membuang pendustaan terhadap Rasulullah s.a.w”. Kami perhatikan, kami dapati pada awal keseratus tahun, ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan pada awal kedua ratus tahun al-Syafi’i”. (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala 10/46. Beirut: Muassasah al-Rasalah).

Cabaran

Jelas sekali, pembaharuan dan gerakan pembaharuan adalah suatu keperluan bagi umat ini. Sekalipun gerakan pembaharuan itu sering ditentang oleh golongan yang berkepentingan, namun ia adalah kewajipan yang mesti dihidupkan. Dahulu dalam masyarakat melayu ketika tokoh-tokoh pembaharuan menentang penindasan terhadap wanita, mandi safar, tepung tawar, kepercayaan khurafat yang dikaitkan dengan agama dan berbagai lagi mereka dicop sebagai ‘kaum muda’, wahhabi, sesat dan berbagai gelaran yang lain. Namun hari ini, umat menikmati hasil pembaharuan yang mereka lakukan.

Gerakan pembaharuan terus diperlukan apabila umat berada dalam krisis dan kejatuhan. Umat Islam sedunia memerlukan gerakan pembaharuan yang berkesan. Di negara kita, kita juga perlukan tajdid atau pembaharuan dalam politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Akar utamanya adalah tajdid dalam pemikiran agama agar kembali segar dan menampilkan imej Islam yang tulen yang dapat menjadi rahmat kepada semua manusia.

Maka, kehendak kepada pembaharuan atau tajdid merupakan satu fonomena biasa dalam kehidupan manusia. Ia berlaku terutama apabila sesuatu keadaan menjadi tepu, atau keadaan yang sedia ada sudah tidak sesuai, atau keadaan yang ada itu salah atau tersasar dari landasan yang sepatutnya.

Hamka

Prof Hamka merupakan tokoh ilmuwan yang berperanan dalam melakukan usaha-usaha pembaharuan pemikiran di Nusantara terutama di Indonesia dan terkesan juga di Malaysia.

Hamka ataupun nama penuhnya Haji Abdul Malik bin Abdul Karim bin Amrullah lahir di Sumatera Barat pada 17 Februari 1908. Beliau kembali ke rahmatullah pada 24 Julai 1981 di Jakarta. Nama asal ayahnya ialah Rasul namun setelah pulang dari Mekah ditukar kepada Haji Abdul Karim kerana menurut adat yang dipakai ketika itu apabila seseorang sudah menunaikan haji diberikan nama baru (Lihat: Prof Hamka, Ayahku, m/s 104. Selangor: Pustaka Dini 2007).

Ayahanda beliau seorang ulama yang belajar di Mekah, kemudian pulang ke Sumatera menjadi pejuang islah di tanahairnya.

Anak Seorang Pejuang

Ayah Hamka, ‘Tuan Rasul’ (gelaran beliau) yang kemudian memakai nama Haji Abdul Karim itu juga tokoh yang bangkit membantah amalan Tarikat Naqsyabandiyah di tempat mereka. Sekalipun ayahnya sendiri (datuk Hamka) merupakan antara tokoh tarikat berkenaan (Ibid, m/s 108).

Hamka meriwayatkan kisah debat ayahnya dengan ulama-ulama tua Padang seperti yang diceritakan kepada Hamka murid ayahnya Tuanku Syeikh ‘Abbas:

“Setelah dimesyuaratkan dengan secara halus, diadakanlah oleh Haji Jamil Kampung Pondok Padang, suatu jamuan makan di rumahnya. Dipanggillah ulama-ulama Padang yang ternama… Haji Jamil meminta fatwa kepada ulama yang hadir untuk menjadi pegangan hidupnya iaitu tentang Tariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang sekarang banyak menjadi perbincangan. Kerana ulama-ulama telah lengkap hadir dia meminta fatwa daripada mereka tentang boleh atau tidaknya Tariqat itu.

Semua ulama yang hadir saling memandang hendak menjawab. Kami golongan yang telah berpegang dengan pendirian Syeikh Ahmad Khathib berdebar-debar menanti pendirian dari ‘Tuan Rasul’ (panggilan kepada ayah Hamka). Akhirnya kerana masih bertolak-tolakkan hendak menjawab itu, beliau pun tidak sabar lagi. Beliaulah yang terlebih dahulu menyatakan pendirian bahawasanya merabithahkan guru dalam melakukan suluk itu tidak ada asal pada Syariat. Kaifiat-kaifiat yang dibuat penganut-penganut Tariqat itu tidak ada yang berasal dari Nabi Muhammad (s.a.w). Suaranya lantang dan tegas. Bukan main gembira kami mendengar keterangannya itu. Haji Jamil selalu pula mengemukakan bantahan seakan-akan mempertahankan Tariqat. Tetapi setiap bantahan yang didatangkan ditolaknya pula dengan hujah yang tegas. Akhirnya ulama-ulama tua tadi tidak dapat menahan hatinya, lalu tampil mempertahankan Tariqat. Satu demi satu mereka itu ditentang oleh Tuan Rasul dengan hujahnya yang kuat dan suaranya yang lantang, apatah lagi kalau beliau tersinggung, beliau lekas marah. Tetapi marahnya itu bukanlah menghilangkan akalnya, melainkan penambah kuat hujahnya dan hebat tangkisannya apabila diserang”. (Ibid m/s 110-112)

Disebabkan ruangan yang terhad, saya akan sambung perbincangan tentang Prof Hamka ini pada tulisan berikutnya.


View the original article here

Wednesday, June 11, 2014

Prof Hamka Dan Tanggungjawab Membela Perjuangan

PROF HAMKA DAN TANGGUNGJAWAB MEMBELA PERJUANGAN
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Kembali kita membicarakan tentang Prof Hamka dan perjuangannya. Selain dari tuduhan sesat, wahabi, keluar mazhab, tidak hormat ulama seperti yang telah kita bincangkan dalam artikel yang lepas, Prof Hamka dan gerakan pembaharuan juga menghadapi pelbagai tuduhan yang lain.

Kaum Muda

Antara gelaran yang dikenakan kepada golongan pembaharuan, samada di Indonesia ataupun Tanah Melayu ketika itu ialah ‘Kaum Muda’. Prof Hamka mengkritik gelaran Kaum Muda kepada golongan pembaharuan. Kata Hamka:

“Menurut lughah yang dipakai dalam bahasa Arab dinamai ‘Mazhab Salaf’ dan salaf itu ertinya nenek moyang yang dahulu-dahulu. Lawannya ialah al-khalaf. Di Mesir golongan Muhammad Abduh dinamai mazhab al-salaf, orang Wahabi di Tanah Arab supaya dirinya juga Mazhab Salaf: ertinya semuanya Kaum Tua. Inilah suatu pengertian yang salah yang berlaku di negeri kita selama 50 tahun. Maka tukang-tukang bidaah, tukang khurafat, tukang menambah-nambah tiang agama atas tiangnya yang asli sepatutnyalah digelarkan Kaum Muda. Dan yang hendak langsung berpegang dengan asal dan hulu agama, sepatutnya bergelar Kaum Tua! Dan Kaum Tua dan Kaum Muda di Indonesia dan Malaya dan Siam sudah taqlid saja erti yang salah 50 tahun lamanya” (Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, 98. Selangor: Pustaka Dini 2009).

Kata Hamka segala gelaran itu bukan sesuatu yang terbaik, walaupun beliau tidak begitu peduli dengan segala gelaran itu. Kata Hamka:

“Adapun saya sendiri tidaklah keberatan didakwa (sebagai) Kaum Tua sebab yang paling tua di dalam Islam ialah al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. yang muthi’ah dikatakan Kaum Muda pun boleh sebab telah terbiasa begitu. Tetapi, jika saya dikatakan (sebagai) orang Islam saja, tidak Kaum Tua, tidak Kaum Muda, itulah yang lebih baik. Saya sefahaman dengan pangkal kata mufti (bahawa) tidak ada berkaum-kaum seperti itu di dalam asal Islam.”

Kata Hamka lagi:

“Kaum Muda (dan) Kaum Tua pun tidak dapat diukur pada umur. Ada seorang tua yang umurnya telah 90 tahun dan wafat di dalam usia lebih 90 tahun. Di dalam usia setua itu, dia masih mengeluarkan “Risalah Penebas Ke Atas Bid’ah-Bid’ah Di Kepala Batas” yang isinya menegakkan Sunnah Rasulullah s.a.w. Dialah asy-Syaikh Tahir Jalaluddin. Ada (pula) seorang pemuda di bawah umur 20 tahun, padahal dia tidak mahu berpegang kepada Sunnah Rasulullah s.a.w.! Dia hanya berkeras mempertahankan apa yang telah diterima daripada nenek moyangnya! Tak mahu berganjak!

Siapakah antara kedua-duanya yang Kaum Tua? (Dan) siapa (pula) yang Kaum Muda? Oleh sebab itu, pada hakikatnya, tidaklah ada faedahnya kita memakai segala gelaran atau nama yang akan mendatangkan ragu-ragu atau perpecahan, sebagaiman sabda Tuhan di dalam al-Quran, “wala tanabazu bi-l-alqab”, ertinya janganlah kamu bersenda-senda pada gelaran-gelaran”. (Ibid m/s 99)

Tidak Hormat Golongan Sayyid

Antara tuduhan lain yang dikenakan kepada golongan pembaharuan ialah kononnya mereka tidak hormat golongan sayyid atau habib yang dikatakan berketurunan Nabi Muhammad s.a.w. Isu ini ditimbulkan sejak dahulu. Kata Hamka:

“Disiarkan berita bahawa Kaum Muda membenci ahlu bait, tidak hormat kepada kaum sayyid, zuriat Rasul” (Ibid m/s 67)

Berkaitan kaum sayyid, Prof Hamka mengkritik keras dakwaan Ibn ‘Arabi iaitu tokoh rujukan sebahagian besar golongan tarekat yang menyatakan kita hendaklah menerima apa sahaja yang dilakukan oleh mereka yang berketurunan Nabi s.a.w. atau kaum sayyid kepada kita. Kata Prof Hamka:

“Tegasnya menurut fatwa Ibn Arabi ini kalau bangsa sayyid atau habib mengambil harta-benda kita hendaklah redha, hendaklah serahkan, hendaklah sabar, kalau diganggunya diri kita ditamparnya, dipukulnya hendak redha, hendaklah menyerah, hendaklah sabar. Sebab beliau cucu nabi kita dan kalau diganggunya kehormatan kita sehingga kita jadi malu, hendaklah redha, hendaklah menyerah, hendaklah sabar, kalau diganggu anak isteri kita dan kaum keluarga kita, hendaklah terima dan redha dengan menyerah dan sabar…maka perkataan Ibn Arabi ini ditanamkanlah kepada orang awam. Padahal sangat membawa hinanya sesetengah manusia di hadapan yang setengahnya, sehingga lebih hina mereka daripada budak yang telah sepuluh kali dijual dan sepuluh kali berganti tuan. Walaupun hartanya atau dirinya bahkan walaupun anak gadisnya diganggu oleh ahli bait, zuriat Rasul, dia menyerah saja dan wajib memandang itu sebagai nikmat sesudah iktisadnya dann hidupnya dijajah oleh British dan Belanda dan Cina, maka jiwanya pula wajib dijadikannya sebagai budak dan jajahan kepada kaum sayyid” (Ibid m/s 72)

Membela Perjuangan

Prof Hamka bukan saya membela kebenaran perjuangan pembaharuan dalam lingkungan bumi Indonesia semata, bahkan beliau juga pernah menghantar sepucuk surat yang panjang lebar kepada Mufti Johor ketika itu, iaitu al-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad. Surat itu dinamakan Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, sekarang telah dijadikan sebuah buku yang dijual di pasaran.

Dalam menghadapi pemikiran pembaharuan pada zaman tersebut, Mufti Johor berkenaan telah mengeluarkan kenyataan yang bercampur fitnah kononnya kelompok pembaharuan yang dituduh sebagai kaum muda atau pun wahabi penyebab orang jadi sesat, anti-mazhab, menolak ulama, terpengaruh dengan musuh Islam dan berbagai lagi. Kenyataan itu dibuat menerusi akhbar pada 14 Julai 1958. Prof Hamka sekalipun dari Indonesia mengambil tanggungjawab menjawab fitnah-fitnah tersebut. Kata Prof Hamka:

“Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” (Ibid m/s 85)

Kata Hamka juga dalam surat tersebut:

“Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (Ibid m/s )48

Katanya juga:

“Maka pengalaman kita sejak 50 tahun patutlah mennjadi ikhtibar kita sekarang, banyak isi kitab yang tersembunyi dikeluarkan. Dan banyak tumbuh masalah baru yang hendak kita kiasi dan kita tapis! Jangan marah tetapi telek baik-baik, bicara dengan tenang. Kerana kalau disambut hanya dengan marah, tentu yang mengeluarkan pendapat itu marah campur pula orang awam. Maka bahas berganti jadi jidal, tumbuhlah permusuhan! Pengalaman 50 tahun jadi pelajaran bagi kita. Hanya kucing saja yang tidak berubah kerana pengalaman walaupun bermukim di Mekah 20 tahun. Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biarkan orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau adapun fatwa dari mufti, hendaklah terima dengan: Na’am! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (Ibid m/s 49)

Cabaran

Antara perkara yang paling buruk yang getir dalam perbaharuan ataupun tajdid dalam agama ini ialah wujudnya sesetengah golongan agama itu sendiri yang menghalang orang lain berfikir atau memahami agama selain dari apa yang mereka fahami. Jika fikiran mereka itu lemah, mereka bimbang orang lain berfikir lebih baik nanti akan dianggap mencabar fikiran mereka. Jika fikiran baik, mereka pula enggan jika wujud keperbagaian fikiran yang baik dalam kalangan umat Islam nanti akan dianggap orang lain pun setaraf mereka. Ini mempunyai kaitan dengan persoalan ‘kuasa agama’ seperti yang saya sebutkan dalam beberapa artikel saya. Segala usaha dan percubaan kepada pembaharuan (renewal) akan dianggap sebagai musuh, kurang ajar, biadap, tidak hormat orang tua-tua dan seumpamanya. Atau, mereka mungkin melebel pihak yang cuba memberikan pandangan yang berbeza dengan mereka dengan berbagai-bagai istilah. Ramai mereka yang cuba melakukan pembaharuan dalam sejarah melayu dimusuhi dan diberikan berbagai tuduhan. Inilah yang menimpa tokoh-tokoh pembaharuan Nusantara termasuk Prof Hamka yang terkenal dengan sumbangan kesarjanaannya, Za’ba yang dianggap sebagai Bapa Persuratan Melayu, Syeikh Tahir Jalaluddin tokoh reformis progresif dan ahli falak, Syed Syeikh al-Hadi tokoh moderate muslim yang berjasa memajukan pendidikan orang melayu, begitu juga muridnya Dr Burhanudin al-Helmi yang menjadi tokoh politik tanahair dan lain-lain.

Pendeta Za’ba hari ini disanjung sebagai tokoh cendiakawan melayu tapi pada hayat diharamkan tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri. Tokoh-tokoh traditionalis Perak pernah menggunakan Sultan Perak untuk mengharamkan tulisan beliau. Za’ba pernah menyebut:

“Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulu kala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta! Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat”.( Za’ba, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005)

Artikel ini hanya menyebut secebis dari pengalaman Prof Hamka dalam melayari perjuangan pembaharuan di Indonesia dan Nusantara. Sesiapa yang membaca tulisan dan karya beliau akan terasa bahang semangat pembaharuan itu dalam jiwa Prof Hamka. Tanpa mengetahui latar fikir Hamka, seseorang mungkin tidak memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam karya-karya beliau.


View the original article here