CABARAN PERUBAHAN DAN PERANAN PROF HAMKA
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Minggu lepas telah diadakan seminar tentang ‘Buya Hamka yang merupakan tokoh ilmuwan Nusantara yang terbilang. Terima kasih Imam Muda Asyraf yang menjadi penganjur dan turut menjemput saya membentang satu tajuk berkaitan tokoh agung itu. Saya bincangkan tentang Prof Hamka dan perjuangannya dalam merubah cara fikir masyarakat. Saya ingin kongsikan dalam tulisan kali ini dan yang akan datang tentang usaha pembaharuan yang Prof Hamka menyahut cabarannya.
Jiwa Perubahan
Sebenarnya, dalam kalangan manusia ini ada insan-insan yang memang seakan terpilih untuk melakukan tanggungjawab membaiki masyarakat mereka. Allah bekalkan dalam diri mereka ini jiwa yang besar, keberanian, kesanggupan menghadapi rintangan dan ketidakmampuan berdiam diri melihat kepincangan masyarakat mereka. Ketika orang lain takut dan tidak sanggup menghadapi reaksi balas masyarakat, atau gagal untuk berfikir ke arah perubahan yang lebih baik, golongan pembaharuan ini tampil membayar harga yang mahal, mengharungi cabaran dan ancaman demi merubah apa yang mereka yakini salah. Mereka menjadi pejuang yang dalam hayat mereka terpaksa mengharungi pelbagai tribulasi demi misi yang hendak mereka capai. Ada dalam kalangan mereka yang melihat kejayaan semasa hidup, ada yang hanya dikenang setelah mereka tiada lagi di dunia ini. Golongan ini akan sentiasa wujud untuk menyelamatkan umat manusia. Mereka adalah kurnia Allah untuk kebaikan insan.
Dalam konteks yang lebih luas, pembaharuan bukan sahaja berlaku dalam kalangan umat Islam, tetapi juga berlaku dalam kalangan mereka yang bukan muslim. Allah takdirkan banyak bangkit para pejuang yang cuba menyelamatkan ketidakadilan dan kekejaman yang berlaku dalam masyarakat mereka. Tokoh-tokoh seperti Martin Luther, Gandhi, William Wilberforce, Nelson Mandela dan lain-lain merupakan rahmat Tuhan kepada hamba-hambaNYA. Mereka telah mengorbankan diri untuk menghalang kezaliman ke atas orang lain. Mereka patut dipuji, dikenang dan disanjung.
Tajdid
Dalam konteks Islam, kita lihat ramai golongan revivalist yang melakukan tajdid ataupun pembaharuan. Dalam pelbagai bidang tokoh-tokoh tajdid dalam umat ini muncul. Dalam hadis disebut:
“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan pada kepala setiap seratus tahun sesiapa yang akan membaharukan untuk umat ini agama mereka” (Riwayat Abu Daud, sahih)
Sepanjang sejarah, tokoh-tokoh atau gerakan tajdid muncul melaksanakan berbagai usaha dan menghadapi berbagai cabaran. Berbagai-bagai bidang tajdid dilakukan demi kebaikan umat. Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz ialah tokoh tajdid (mujaddid) yang disepakati umat. Kemudian muncul berbagai tokoh lain yang dianggap mujaddid; seperti al-Imam al-Syafi’i (meninggal 204H), al-Ghazali (meninggal 505H), al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dan lain-lain. Perkataan ‘man’ (sesiapa) dalam hadis di atas mencetuskan berbagai tafsiran di kalangan sarjana. Mereka membahaskan apakah ia bermaksud ‘seorang’ setiap kurun, atau ramai tetapi bertebaran di berbagai tempat dan negeri yang berbeza, atau ia bermaksud gerakan dan seumpamanya. Ini seperti yang disebut oleh Ibn Athir (w. 606H) dalam Jami’ al-Usul fi Ahadith al-Rasul bahawa tidak semesti bagi setiap kurun itu seorang lelaki, boleh jadi seorang, boleh jadi juga ramai. Tidak semestinya tokoh-tokoh fekah sahaja, boleh jadi juga tokoh-tokoh politik, ulama al-Quran, ulama hadis, pendakwah, golongan zuhud dan selain mereka. Ini kerana setiap kaum mempunyai keperluan dalam bidang tertentu yang mungkin berbeza dengan kaum yang lain. Ini berdasarkan tuntutan semasa. Tujuannya tajdid itu memelihara agama, kerukunan politik, menyebarkan keadilan dan keinsafan yang dapat memelihara masyarakat (lihat: 11/319. Dar al-Bayan).
Kata al-Imam Ahmad bin Hanbal-dengan meriwayat hadis melalui sanadnya-:
“Sesungguhnya Allah menentukan untuk manusia pada permulaan setiap seratus tahun sesiapa yang mengajar mereka sunnah, dan membuang pendustaan terhadap Rasulullah s.a.w”. Kami perhatikan, kami dapati pada awal keseratus tahun, ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan pada awal kedua ratus tahun al-Syafi’i”. (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala 10/46. Beirut: Muassasah al-Rasalah).
Cabaran
Jelas sekali, pembaharuan dan gerakan pembaharuan adalah suatu keperluan bagi umat ini. Sekalipun gerakan pembaharuan itu sering ditentang oleh golongan yang berkepentingan, namun ia adalah kewajipan yang mesti dihidupkan. Dahulu dalam masyarakat melayu ketika tokoh-tokoh pembaharuan menentang penindasan terhadap wanita, mandi safar, tepung tawar, kepercayaan khurafat yang dikaitkan dengan agama dan berbagai lagi mereka dicop sebagai ‘kaum muda’, wahhabi, sesat dan berbagai gelaran yang lain. Namun hari ini, umat menikmati hasil pembaharuan yang mereka lakukan.
Gerakan pembaharuan terus diperlukan apabila umat berada dalam krisis dan kejatuhan. Umat Islam sedunia memerlukan gerakan pembaharuan yang berkesan. Di negara kita, kita juga perlukan tajdid atau pembaharuan dalam politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Akar utamanya adalah tajdid dalam pemikiran agama agar kembali segar dan menampilkan imej Islam yang tulen yang dapat menjadi rahmat kepada semua manusia.
Maka, kehendak kepada pembaharuan atau tajdid merupakan satu fonomena biasa dalam kehidupan manusia. Ia berlaku terutama apabila sesuatu keadaan menjadi tepu, atau keadaan yang sedia ada sudah tidak sesuai, atau keadaan yang ada itu salah atau tersasar dari landasan yang sepatutnya.
Hamka
Prof Hamka merupakan tokoh ilmuwan yang berperanan dalam melakukan usaha-usaha pembaharuan pemikiran di Nusantara terutama di Indonesia dan terkesan juga di Malaysia.
Hamka ataupun nama penuhnya Haji Abdul Malik bin Abdul Karim bin Amrullah lahir di Sumatera Barat pada 17 Februari 1908. Beliau kembali ke rahmatullah pada 24 Julai 1981 di Jakarta. Nama asal ayahnya ialah Rasul namun setelah pulang dari Mekah ditukar kepada Haji Abdul Karim kerana menurut adat yang dipakai ketika itu apabila seseorang sudah menunaikan haji diberikan nama baru (Lihat: Prof Hamka, Ayahku, m/s 104. Selangor: Pustaka Dini 2007).
Ayahanda beliau seorang ulama yang belajar di Mekah, kemudian pulang ke Sumatera menjadi pejuang islah di tanahairnya.
Anak Seorang Pejuang
Ayah Hamka, ‘Tuan Rasul’ (gelaran beliau) yang kemudian memakai nama Haji Abdul Karim itu juga tokoh yang bangkit membantah amalan Tarikat Naqsyabandiyah di tempat mereka. Sekalipun ayahnya sendiri (datuk Hamka) merupakan antara tokoh tarikat berkenaan (Ibid, m/s 108).
Hamka meriwayatkan kisah debat ayahnya dengan ulama-ulama tua Padang seperti yang diceritakan kepada Hamka murid ayahnya Tuanku Syeikh ‘Abbas:
“Setelah dimesyuaratkan dengan secara halus, diadakanlah oleh Haji Jamil Kampung Pondok Padang, suatu jamuan makan di rumahnya. Dipanggillah ulama-ulama Padang yang ternama… Haji Jamil meminta fatwa kepada ulama yang hadir untuk menjadi pegangan hidupnya iaitu tentang Tariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang sekarang banyak menjadi perbincangan. Kerana ulama-ulama telah lengkap hadir dia meminta fatwa daripada mereka tentang boleh atau tidaknya Tariqat itu.
Semua ulama yang hadir saling memandang hendak menjawab. Kami golongan yang telah berpegang dengan pendirian Syeikh Ahmad Khathib berdebar-debar menanti pendirian dari ‘Tuan Rasul’ (panggilan kepada ayah Hamka). Akhirnya kerana masih bertolak-tolakkan hendak menjawab itu, beliau pun tidak sabar lagi. Beliaulah yang terlebih dahulu menyatakan pendirian bahawasanya merabithahkan guru dalam melakukan suluk itu tidak ada asal pada Syariat. Kaifiat-kaifiat yang dibuat penganut-penganut Tariqat itu tidak ada yang berasal dari Nabi Muhammad (s.a.w). Suaranya lantang dan tegas. Bukan main gembira kami mendengar keterangannya itu. Haji Jamil selalu pula mengemukakan bantahan seakan-akan mempertahankan Tariqat. Tetapi setiap bantahan yang didatangkan ditolaknya pula dengan hujah yang tegas. Akhirnya ulama-ulama tua tadi tidak dapat menahan hatinya, lalu tampil mempertahankan Tariqat. Satu demi satu mereka itu ditentang oleh Tuan Rasul dengan hujahnya yang kuat dan suaranya yang lantang, apatah lagi kalau beliau tersinggung, beliau lekas marah. Tetapi marahnya itu bukanlah menghilangkan akalnya, melainkan penambah kuat hujahnya dan hebat tangkisannya apabila diserang”. (Ibid m/s 110-112)
Disebabkan ruangan yang terhad, saya akan sambung perbincangan tentang Prof Hamka ini pada tulisan berikutnya.
0 comments:
Post a Comment