PROF HAMKA DAN TANGGUNGJAWAB MEMBELA PERJUANGAN
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Kembali kita membicarakan tentang Prof Hamka dan perjuangannya. Selain dari tuduhan sesat, wahabi, keluar mazhab, tidak hormat ulama seperti yang telah kita bincangkan dalam artikel yang lepas, Prof Hamka dan gerakan pembaharuan juga menghadapi pelbagai tuduhan yang lain.
Kaum Muda
Antara gelaran yang dikenakan kepada golongan pembaharuan, samada di Indonesia ataupun Tanah Melayu ketika itu ialah ‘Kaum Muda’. Prof Hamka mengkritik gelaran Kaum Muda kepada golongan pembaharuan. Kata Hamka:
“Menurut lughah yang dipakai dalam bahasa Arab dinamai ‘Mazhab Salaf’ dan salaf itu ertinya nenek moyang yang dahulu-dahulu. Lawannya ialah al-khalaf. Di Mesir golongan Muhammad Abduh dinamai mazhab al-salaf, orang Wahabi di Tanah Arab supaya dirinya juga Mazhab Salaf: ertinya semuanya Kaum Tua. Inilah suatu pengertian yang salah yang berlaku di negeri kita selama 50 tahun. Maka tukang-tukang bidaah, tukang khurafat, tukang menambah-nambah tiang agama atas tiangnya yang asli sepatutnyalah digelarkan Kaum Muda. Dan yang hendak langsung berpegang dengan asal dan hulu agama, sepatutnya bergelar Kaum Tua! Dan Kaum Tua dan Kaum Muda di Indonesia dan Malaya dan Siam sudah taqlid saja erti yang salah 50 tahun lamanya” (Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, 98. Selangor: Pustaka Dini 2009).
Kata Hamka segala gelaran itu bukan sesuatu yang terbaik, walaupun beliau tidak begitu peduli dengan segala gelaran itu. Kata Hamka:
“Adapun saya sendiri tidaklah keberatan didakwa (sebagai) Kaum Tua sebab yang paling tua di dalam Islam ialah al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. yang muthi’ah dikatakan Kaum Muda pun boleh sebab telah terbiasa begitu. Tetapi, jika saya dikatakan (sebagai) orang Islam saja, tidak Kaum Tua, tidak Kaum Muda, itulah yang lebih baik. Saya sefahaman dengan pangkal kata mufti (bahawa) tidak ada berkaum-kaum seperti itu di dalam asal Islam.”
Kata Hamka lagi:
“Kaum Muda (dan) Kaum Tua pun tidak dapat diukur pada umur. Ada seorang tua yang umurnya telah 90 tahun dan wafat di dalam usia lebih 90 tahun. Di dalam usia setua itu, dia masih mengeluarkan “Risalah Penebas Ke Atas Bid’ah-Bid’ah Di Kepala Batas” yang isinya menegakkan Sunnah Rasulullah s.a.w. Dialah asy-Syaikh Tahir Jalaluddin. Ada (pula) seorang pemuda di bawah umur 20 tahun, padahal dia tidak mahu berpegang kepada Sunnah Rasulullah s.a.w.! Dia hanya berkeras mempertahankan apa yang telah diterima daripada nenek moyangnya! Tak mahu berganjak!
Siapakah antara kedua-duanya yang Kaum Tua? (Dan) siapa (pula) yang Kaum Muda? Oleh sebab itu, pada hakikatnya, tidaklah ada faedahnya kita memakai segala gelaran atau nama yang akan mendatangkan ragu-ragu atau perpecahan, sebagaiman sabda Tuhan di dalam al-Quran, “wala tanabazu bi-l-alqab”, ertinya janganlah kamu bersenda-senda pada gelaran-gelaran”. (Ibid m/s 99)
Tidak Hormat Golongan Sayyid
Antara tuduhan lain yang dikenakan kepada golongan pembaharuan ialah kononnya mereka tidak hormat golongan sayyid atau habib yang dikatakan berketurunan Nabi Muhammad s.a.w. Isu ini ditimbulkan sejak dahulu. Kata Hamka:
“Disiarkan berita bahawa Kaum Muda membenci ahlu bait, tidak hormat kepada kaum sayyid, zuriat Rasul” (Ibid m/s 67)
Berkaitan kaum sayyid, Prof Hamka mengkritik keras dakwaan Ibn ‘Arabi iaitu tokoh rujukan sebahagian besar golongan tarekat yang menyatakan kita hendaklah menerima apa sahaja yang dilakukan oleh mereka yang berketurunan Nabi s.a.w. atau kaum sayyid kepada kita. Kata Prof Hamka:
“Tegasnya menurut fatwa Ibn Arabi ini kalau bangsa sayyid atau habib mengambil harta-benda kita hendaklah redha, hendaklah serahkan, hendaklah sabar, kalau diganggunya diri kita ditamparnya, dipukulnya hendak redha, hendaklah menyerah, hendaklah sabar. Sebab beliau cucu nabi kita dan kalau diganggunya kehormatan kita sehingga kita jadi malu, hendaklah redha, hendaklah menyerah, hendaklah sabar, kalau diganggu anak isteri kita dan kaum keluarga kita, hendaklah terima dan redha dengan menyerah dan sabar…maka perkataan Ibn Arabi ini ditanamkanlah kepada orang awam. Padahal sangat membawa hinanya sesetengah manusia di hadapan yang setengahnya, sehingga lebih hina mereka daripada budak yang telah sepuluh kali dijual dan sepuluh kali berganti tuan. Walaupun hartanya atau dirinya bahkan walaupun anak gadisnya diganggu oleh ahli bait, zuriat Rasul, dia menyerah saja dan wajib memandang itu sebagai nikmat sesudah iktisadnya dann hidupnya dijajah oleh British dan Belanda dan Cina, maka jiwanya pula wajib dijadikannya sebagai budak dan jajahan kepada kaum sayyid” (Ibid m/s 72)
Membela Perjuangan
Prof Hamka bukan saya membela kebenaran perjuangan pembaharuan dalam lingkungan bumi Indonesia semata, bahkan beliau juga pernah menghantar sepucuk surat yang panjang lebar kepada Mufti Johor ketika itu, iaitu al-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad. Surat itu dinamakan Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, sekarang telah dijadikan sebuah buku yang dijual di pasaran.
Dalam menghadapi pemikiran pembaharuan pada zaman tersebut, Mufti Johor berkenaan telah mengeluarkan kenyataan yang bercampur fitnah kononnya kelompok pembaharuan yang dituduh sebagai kaum muda atau pun wahabi penyebab orang jadi sesat, anti-mazhab, menolak ulama, terpengaruh dengan musuh Islam dan berbagai lagi. Kenyataan itu dibuat menerusi akhbar pada 14 Julai 1958. Prof Hamka sekalipun dari Indonesia mengambil tanggungjawab menjawab fitnah-fitnah tersebut. Kata Prof Hamka:
“Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” (Ibid m/s 85)
Kata Hamka juga dalam surat tersebut:
“Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (Ibid m/s )48
Katanya juga:
“Maka pengalaman kita sejak 50 tahun patutlah mennjadi ikhtibar kita sekarang, banyak isi kitab yang tersembunyi dikeluarkan. Dan banyak tumbuh masalah baru yang hendak kita kiasi dan kita tapis! Jangan marah tetapi telek baik-baik, bicara dengan tenang. Kerana kalau disambut hanya dengan marah, tentu yang mengeluarkan pendapat itu marah campur pula orang awam. Maka bahas berganti jadi jidal, tumbuhlah permusuhan! Pengalaman 50 tahun jadi pelajaran bagi kita. Hanya kucing saja yang tidak berubah kerana pengalaman walaupun bermukim di Mekah 20 tahun. Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biarkan orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau adapun fatwa dari mufti, hendaklah terima dengan: Na’am! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (Ibid m/s 49)
Cabaran
Antara perkara yang paling buruk yang getir dalam perbaharuan ataupun tajdid dalam agama ini ialah wujudnya sesetengah golongan agama itu sendiri yang menghalang orang lain berfikir atau memahami agama selain dari apa yang mereka fahami. Jika fikiran mereka itu lemah, mereka bimbang orang lain berfikir lebih baik nanti akan dianggap mencabar fikiran mereka. Jika fikiran baik, mereka pula enggan jika wujud keperbagaian fikiran yang baik dalam kalangan umat Islam nanti akan dianggap orang lain pun setaraf mereka. Ini mempunyai kaitan dengan persoalan ‘kuasa agama’ seperti yang saya sebutkan dalam beberapa artikel saya. Segala usaha dan percubaan kepada pembaharuan (renewal) akan dianggap sebagai musuh, kurang ajar, biadap, tidak hormat orang tua-tua dan seumpamanya. Atau, mereka mungkin melebel pihak yang cuba memberikan pandangan yang berbeza dengan mereka dengan berbagai-bagai istilah. Ramai mereka yang cuba melakukan pembaharuan dalam sejarah melayu dimusuhi dan diberikan berbagai tuduhan. Inilah yang menimpa tokoh-tokoh pembaharuan Nusantara termasuk Prof Hamka yang terkenal dengan sumbangan kesarjanaannya, Za’ba yang dianggap sebagai Bapa Persuratan Melayu, Syeikh Tahir Jalaluddin tokoh reformis progresif dan ahli falak, Syed Syeikh al-Hadi tokoh moderate muslim yang berjasa memajukan pendidikan orang melayu, begitu juga muridnya Dr Burhanudin al-Helmi yang menjadi tokoh politik tanahair dan lain-lain.
Pendeta Za’ba hari ini disanjung sebagai tokoh cendiakawan melayu tapi pada hayat diharamkan tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri. Tokoh-tokoh traditionalis Perak pernah menggunakan Sultan Perak untuk mengharamkan tulisan beliau. Za’ba pernah menyebut:
“Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulu kala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta! Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat”.( Za’ba, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005)
Artikel ini hanya menyebut secebis dari pengalaman Prof Hamka dalam melayari perjuangan pembaharuan di Indonesia dan Nusantara. Sesiapa yang membaca tulisan dan karya beliau akan terasa bahang semangat pembaharuan itu dalam jiwa Prof Hamka. Tanpa mengetahui latar fikir Hamka, seseorang mungkin tidak memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam karya-karya beliau.
0 comments:
Post a Comment