Pages


Saturday, June 14, 2014

Jangan ‘Main Ceduk’ Apa Saja Ke Bakul Agama

JANGAN ‘MAIN CEDUK’ APA SAJA KE BAKUL AGAMA
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Menjadi satu masalah yang besar apabila penceramah ataupun penulis mengutip semua cerita yang dia jumpa dalam buku tanpa mampu menilai kemunasabahannya. Bagi mereka yang tidak memahami disiplin ilmu, menganggap setiap yang ada dalam kitab itu sahih. Terbaru kita dengar ada pihak mempopularkan cerita memanggil arwah di Telaga Barahut (Barahut atau disebut juga Burhut seperti yang dinyatakan dalam Lisan al-‘Arab). Kononnya, ada orang memanggil roh dari telaga berkenaan untuk mengetahui di mana hartanya di simpan oleh kawannya sebelum dia meninggal. Mungkin niatnya ikhlas, tapi cerita itu tak berasas dan ‘kartun’ sekalipun disebut dalam beberapa kitab. Saya terbayang, jika ini benar, bolehlah kita pergi panggil roh-roh penumpang MH370 dan bertanya di manakah kapal terbang berkenaan hilang.

Sahih

Walaupun asas nama Telaga Barahut itu disebut dalam hadis yang thabit riwayat al-Tabarani dan selainnya sebagai seburuk-buruk telaga, namun cerita si fulan memanggil roh kawannya dari telaga itu tiada asas yang sabit. Mudah untuk difahami seperti cerita Nabi Khidir. Kisah itu ada dalam al-Quran dalam Surah al-Kahf. Nama Khidir itu pula disebut dalam Sahih al-Bukhari. Namun cerita dalam Hikayat Melayu Lama bahawa Hang Tuah bertemu Khidir tiada asas yang boleh dipercayai.

Menggunakan kewujudan cerita itu dalam al-Quran dan as-Sunnah sebagai dalil untuk membenarkan cerita yang direka kemudian adalah satu kaedah yang tertolak dan tidak boleh diterima sama sekali. Cerita yang datang kemudian, jika pun hendak diterima, hendaklah dinilai dari segi keselarasan dengan al-Quran dan as-Sunnah serta lojik yang kukuh.

al quran

Menjadikan alasan ia wujud dalam sesebuah kitab (dalam Bahasa Melayu kitab bermaksud buku) bukan alasan yang diterima di sisi ahli riwayat. Kewujudan sesebuah cerita dalam sesebuah kitab tidak menjadi bukti kesahihannya. Bahkan, banyak riwayat dalam kitab-kitab terdahulu yang tidak sahih. Dalam kitab-kitab tafsir ada pelbagai riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Tidak boleh semuanya dipercayai. Ada disiplin ilmu yang mesti diikuti sebelum memetik kisah-kisah itu. Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi:

“Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Palsu

Dalam kitab-kitab hadis banyak hadis yang palsu. Para ulama hadis menyuruh kita menyemak sanad dan matan sebelum sesuatu hadis diterima. Bahkan para sarjana hadis telah bertungkus-lumus melakukan klasifikasi hadis bagi membezakan yang sabit dari selainnya. Kata al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H):

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”.( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir)

Dalam membaca bahan sejarah juga demikian. Bukan semua yang ada dalam buku sejarah itu boleh dipetik tanpa menyemak sanad dan matannya. Empunya kitab sejarah terbesar al-Imam al-Tabari (meninggal 310) sendiri mengingatkan hal ini pada mukadimah kitabnya:

“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”.(Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).

Saya petik kata-kata Syeikh Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi dalam membahaskan manhaj sejarawan Islam terutamanya al-Tabari:

“Para ahli sejarah Islam telah menulis himpunan riwayat yang begitu banyak dalam penulisan mereka. Mereka mencampuradukkan antara yang sahih dengan yang palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan apa yang sahih daripada yang sebaliknya. Mereka juga tidak mentakhrijkan riwayat tersebut dan tidak pula menjelaskan kedudukan perawinya. Namun begitu mereka meriwayatkan riwayat-riwayat tersebut secara bersanad. Mereka juga menyebut perawi-perawi bagi setiap sanad. Selain itu, mereka juga menyebut bagi sesuatu kejadian itu, berbagai-bagai riwayat yang berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan antara satu dengan yang lain. Ini bukanlah bererti kehendak mereka adalah untuk berpegang, mempercayai dan menerima kandungannya, tetapi yang menjadi tujuan mereka ialah menunaikan amanah ilmu. Inilah faktor yang menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap berita yang sampai kepada mereka sama ada riwayat itu benar, dusta, betul atau salah”. (Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, hlm. 7)

Malangnya apabila kedangkalan disiplin ini tidak dikuasai, ada yang menceduk apa sahaja yang dia jumpa tanpa menghayati disiplin dalam periwayatan.

Lojik

Perkara yang tidak lojik dan menyanggah akal waras tidak mungkin hendak dikaitkan dengan Islam. Inilah yang kita ulang apa yang disebut oleh sesetengah sarjana hadis:

Apabila engkau melihat sesebuah hadith menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadith yang palsu (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182, Beirut: Dar al-Fikr).

TadribAlRawi

Ilmuwan al-Azhar sendiri, Dr. al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah juga menyebut:

“Sepertimana para ulama hadith mengambil berat berhubung analisa kritis terhadap sanad yang merupakan analisa kritis luaran, mereka juga membuat analisa kritis terhadap matan (textual criticism) iaitu analisa kritis dalaman. Ini terbukti dengan mereka menjadikan salah satu tanda-tanda hadis palsu ialah percanggahannya dengan al-`aql (akal), atau al-musyahadah (apa yang disaksi di alam kenyataan), atau al-hiss (apa yang dikesan oleh pancaindera) sedangkan ia tidak mampu untuk ditakwilkan dengan takwilan yang hampir dan mungkin (untuk diselaraskan). Dalam banyak keadaan mereka maksudkan ialah percanggahan dengan al-Quran, atau al-Sunnah yang masyhur lagi sahih, atau sejarah yang diketahui, sedangkan ia tidak mampu untuk ditaufiqkan (diharmonikan). (Abu Syahbah, Difa’ an al-Sunnah, m.s. 31. Kaherah: Maktabah al-Sunnah)

Buku-buku memang banyak. Pun begitu, mensahihkan sesuatu perlukan kaedah yang betul. Bukan salah untuk mengutip cerita-cerita yang lemah sekadar iktibar, tapi hendaklah jangan disandarkan kepada agama Allah yang maha mulia ini. Jangan pula cerita itu menjatuhkan mertabat Islam sebagai agama yang rasional dan penuh dengan alasan yang munasabah bagi setiap perkara nanti orang bersalah sangka kepada agama.

Kisah-kisah pengajaran orang soleh dan para wali boleh dipetik tapi pasti ia seiras dengan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Juga agama tidak mungkin membawa sesuatu yang tidak dapat disaksikan kebenarannya oleh akal yang waras. Jangan kita main ceduk semua benda dan masukkan ke dalam bakul agama.


View the original article here

0 comments:

Post a Comment