JANGAN MUDAH MENGKAFIR DAN MENERAKAKAN ORANG
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Antara ciri wasatiyyah (tidak melampau dan tidak cuai) Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah sikap berhati-hati dalam menghukum pihak lain dengan tuduhan kufur, laknat ataupun nereka. Mereka sedaya upaya mencari keuzuran bagi pihak yang hendak dikenakan tuduhan sedemikian. Ini kerana perkara yang nampak pada zahir, mungkin tidak sama pada hakikat yang sebenar.
Menilai Hakikat
Nabi s.a.w mengajar kita berhati-hati dalam menuduh orang lain sebagai kafir ataupun musuh Allah sewenang-wenangnya. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bahkan dalam hadis, Nabi s.a.w melarang melaknat seorang sahabat yang meminum arak kerana walaupun pada zahirnya dia berdosa dan minum arak adalah perbuatan yang dilaknat. Namun setiap orang mempunyai keadaan yang berbeza. Kejahatan dosa peribadi seseorang tidak semestinya dia sama sekali tidak mempunyai nilai baik yang lain. Mungkin dia lemah pada satu nilai, tapi ada kebaikan lain yang tidak melayakkan dia dilaknat.
Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini:
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”.
Kekufuran
Kemudian, bagi mereka yang membuat kesalahan yang membawa kepada kekufuran ataupun dosa yang besar mungkin tidak sampai kepada mereka ajaran yang sebenar dengan penghujahan yang cukup. Jangan kita sibuk menerakakan orang sedang Allah menyebut: (maksudnya)
“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15)
Hujjatul Islam Al-Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam Faisal al-Tafriqah bain al-Islam wa al-Zandaqah menyebut tentang mereka yang diselamatkan dengan rahmat Allah dari hukuman azab neraka, antaranya beliau menyebut:
“Aku katakan bahawa kebanyakan Kristian Rom dan Turki pada zaman ini termasuk dalam rahmat ini –dengan izin Allah- iaitu mereka yang berada di penghujung Rome dan Turki yang tidak sampai dakwah. Mereka itu tiga golongan; (golongan pertama) mereka yang tidak sampai kepada mereka nama Muhammad sama sekali. Mereka itu dimaafkan. (golongan kedua) mereka yang sampai kepada mereka nama Muhammad, sifat-sifatnya dan segala mukjizat (bukti) yang telah nyata. Mereka ini berjiran dengan Negara Islam dan bergaul dengan kaum muslimin. Mereka ini kuffar yang nyata. (golongan ketiga) mereka ini antara dua keadaan. Sampai kepada mereka nama Muhammad s.a.w tetapi tidak sampai ciri dan sifatnya. Mereka sejak awal mendengar bahawa seorang pendusta yang mengelirukan bernama Muhammad telah mendakwa menjadi nabi… mereka ini pada pendapatku sama seperti golongan yang pertama. Mereka ini sekalipun mendengar nama Muhammad tetapi mereka juga mendengar apa yang bercanggahan dengan sifat-sifatnya. Ini tidak menggerakkan mereka untuk mencari kebenaran..”
Kenyataan al-Imam Ghazali ini sekalipun beliau bercakap pada zaman beliau tetapi juga memberi gambaran bahawa sesiapa sahaja yang tidak sampai hujah yang nyata tentang Islam sekali mengetahui nama Islam, tidak termasuk dalam golongan kafir yang layak dihukum neraka. Apatah lagi di zaman kita ini, di mana wajah Islam yang sebenar sering dikelirukan dan orang muslim juga sering bertindak mengelirukan orang lain tentang Islam yang sebenar. Tuhan Maha Rahmat kepada sekelian hamba-hambaNYA.
Hujah
Mungkin penjelasan mengenai Islam dengan satu pendekatan yang pada zaman dahulu memadai, pada zaman ini sudah tidak memadai lagi. Mungkin memadai untuk segolongan manusia tetapi tidak bagi golongan yang lain. Maka, Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNYA.
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:
“Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul”.
Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:
“Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain” (m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)
Ilmuwan
Sementara bagi golongan ilmuwan pula kadang-kala berlaku perbezaan pendapat antara mereka sehingga dalam masalah akidah sekalipun. Kita tidak boleh sewenang-wenang menghukum murtad dan kufur atas ijtihad mereka yang berasaskan hujah-hujah mereka yang bertujuan mencari kebenaran yang diredhai Allah.
Demikian Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) dalam karyanya Daru Ta’arud al-‘Aql wa al-Naql ketika menjawab golongan ulama yang berbeza pendapat dan aliran fikir dengannya, namun beliau tetap memberikan keuzuran untuk mereka dengan penuh kesantunan, katanya:
“Kemudian, bahawa tiada seorang pun dalam kalangan mereka kecuali mempunyai sumbangan yang berharga, kebaikan yang dipuji juga usaha menjawab ramai golongan mulhid dan bid’ah serta membela ramai Ahlus Sunnah. Ini sesuatu yang jelas untuk sesiapa yang tahu hal keadaan mereka, berbicara mengenai mereka dengan imu, benar, adil dan insaf. Ini (penilaian sebegitu) bukan khusus untuk mereka sahaja bahkan hal seperti ini berlaku kepada beberapa golongan dalam kalangan ahli ilmuwan dan agamawan. Allah S.W.T itu menerima kebaikan dari semua hambaNYA yang beriman, DIA memaafkan kesalahan-kesalahan. Ini seperti doa dalam firmanNYA: “Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam jantung hati kami perasaan hasad dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha melimpah belas kasihan dan Maha Penyayang”. (Surah al-Hasyr, 10).
Sambung beliau lagi:
“Tiada syak lagi sesiapa yang mencari kebenaran dan agama dari jalan al-Rasul s.a.w. kemudian tersilap dalam beberapa perkara maka Allah mengampuni kesalahannya sebagai penunaian kepada doa yang Allah sahut untuk NabiNYA dan mereka yang beriman tatkala mereka menyebut: (maksudnya) “Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersilap (khata`) ”. (Surah al-Baqarah: 286)
Ahbash
Demikian kesantunan ilmu yang berlapang dalam perbezaan pendapat. Hal ini perlu ditegaskan di Malaysia terutama sejak kemunculan golongan Ahbash dan pengikut Hasan Saqqaf yang sering mengkafirkan sesiapa yang berbeza pendapat dengan mereka. Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Semenjak beberapa tahun yang lalu aku ada mendengar tentang satu jamaah yang zahir di Lebanon, ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di sana dengan pandapat-pendapat yang pelik, menyeleweng dan pandangan-pandangan yang merbahaya dalam persoalan aqidah, fekah dan akhlak… dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dalam kalangan umat Islam hari ini atau yang terdahulu. Mereka mengkafirkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua orang tokoh ini seperti tokoh tajdid tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab.
Demikian juga mereka mengkafirkan ramai dari ulama semasa seperti al-’Allamah al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya… Golongan Ahbash yang pelampau dan menyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abu al-Hasan al-’Asy’ariy segi aqidah, mazhab al-Imam al-Syafi’i segi Fekah, dan mengikut Tarikat al-Rifa’iyyah dalam berakhlak.
Akan tetapi hakikatnya mereka amat jauh dari manhaj kesemua para imam itu samada dalam pemikiran, adab dan akhlak.. Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lebanon, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habashah (Ethopia) berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baharu, yang hasrat utamanya ialah memecah belahkan kesatuan umat Islam, mengucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini. (Dr Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muasarah 3/685-686, Dar al-Qalam).
Umat Islam di Malaysia hendaklah kekal dengan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah yang mengamalkan pendekatan yang sederhana dan penuh kesantunan serta insaf dalam menilai pihak yang lain.
0 comments:
Post a Comment