Pages


Friday, June 27, 2014

Jika Mahu Insan Boleh Berubah…

JIKA MAHU INSAN BOLEH BERUBAH…
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Al-Qa’nabi (130-221H) ataupun nama penuhnya ‘Abd Allah bin Maslamah bin Qa’nab al-Harithi merupakan anak murid al-Imam Malik bin Anas. Al-Qa’nabi dianggap antara murid Malik yang terbilang. Dia mendampingi al-Imam Malik di Madinah dalam tempoh yang lama. Dikatakan selama lebih 20 tahun. Dia salah seorang perawi al-Muwatta daripada al-Imam Malik. Bahkan dia dianggap perawi al-Muwatta paling thiqah (dipercayai). Terkenal dengan zuhud dan warak dan doanya mustajab. Beliau digelar al-Rahib ataupun pendeta kerana kuat beribadah. Amat disanjungi oleh ahli-ahli hadis. Beliau juga salah seorang al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud. Namanya amat besar dalam dunia periwayatan hadis.

Al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597) dalam Kasyf al-Musykil menyebut riwayat daripada salah seorang anak al-Qa’nabi bahawa bapanya dahulu –semasa di Basrah peringkat awal- meminum nabiz (air perahan/tuak) dan terlibat dengan perkara yang tidak baik. Ketika dia berada di pintu rumahnya, ilmuan hadis besar Basrah iaitu Syu’bah bin al-Hajjaj lalu bersama dengan orang ramai yang mengikutnya. Al-Qa’nabi bertanya: “Siapakah dia ini?”. Mereka memberitahunya: “Itu Syu’bah”. Dia berkata: “Siapa dia Syu’bah?”. Mereka menjawab: “Muhaddith (ahli hadis)”.

Al-Qa’nabi yang ketika itu memakai kain merah keluar di hadapan Syu’bah lalu berkata: “Bacakan kepadaku hadis”. Syu’bah menjawab: “Engkau bukan kalangan ahli hadis untuk aku meriwayatkan hadis untukmu”. Lalu al-Qa’nabi mengugutnya dengan pisau sambil berkata: “Samada kau riwayatkan hadis untukku ataupun aku cederakan kau”. Maka Syu’bah pun berkata: “Telah menghadiskan kepadaku Mansur daripada Rib’i (bin Harash) daripada Abu Mas’ud (Al-Ansari), beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w : “Jika kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu mahu”.

Mendengar hadis tersebut al-Qa’nabi telah mencampakkan pisaunya dan pulang ke rumahnya. Dia mencurahkan semua nabiz yang ada di rumahnya. Dia meminta ibunya jika kawan-kawannya datang izinkan mereka masuk, beri mereka makan dan beritahu apa yang telah dia lakukan iaitu menuang semua nabiznya agar mereka tahu dan pulang. Lalu Al-Qa’nabi pergi ke Madinah (tempat kelahirannya) dan berguru hadis dengan al-Imam Malik bin Anas. Apabila dia pulang ke Basrah semula, pada masa itu Syu’bah telah meninggal. Dia tidak sempat mengambil hadis dari Syu’bah melainkan sepotong hadis tadi iaitu:

“Jika kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu mahu”. (Ibn Jauzi, Kasyf al-Musykil min Hadith al-Sahihain 1/437. Riyadh: Dar al-Watan).

Berubah

Saya petik kisah di atas bagi menggambarkan betapa insan itu boleh berubah dengan perubahan yang sangat besar dalam hidup, dari seorang insan yang kurang baik kepada yang terbaik dan amat baik. Sehingga Allah mengangkat namanya di persada kesolehan dan kemuliaan.

Tiada yang menghalang seseorang untuk berubah menjadi watak yang sepenuhnya berbeza dari zaman kegelapannya apabila dia mendapat cahaya petunjuk dan benar-benar memenuhi dirinya dengan cahaya itu. Keikhlasan akan menjemput pertolongan Allah hadir untuk seseorang yang benar-benar ingin berubah dan terus istiqamah atas perubahan dirinya itu.

Untuk berubah kepada kebaikan kadang-kala tidak memerlukan peristiwa besar. Dalam kes al-Qa’nabi tadi, tadi satu ungkapan hadis sahaja telah merubah keseluruhan hidupnya. Kebaikan itu jika memang tersimpan dalam diri seseorang dengan mudahnya akan menjelma dan membuak-buak keluar apabila suis ataupun pintunya dibuka. Kadang-kala pintu itu tertutup rapat sedangkan kebaikan ada di dalamnya. Untuk menjelmakan segala kebaikan yang ada di sebalik pintu yang tebal dan kukuh hendaklah dibukakan terlebih dahulu kelopak pintu tersebut. Tidak semesti dirobohkan ataupun dikopak hingga terkoyak pintu. Sebenarnya, untuk membuka pintu yang teguh memerlukan kunci yang betul. Tidak semestinya kunci kena besar. Kecil pun jika betul boleh membukanya.

Unsur Kebaikan

Saya tertarik dengan kata-kata Sayyid Qutb -sebelum dihukum gantung mati- dalam suratnya kepada adik perempuannya Aminah Qutb. Surat itu kemudian dijadikan risalah kecil yang dinamakan Afrah al-Ruh. Semasa usia saya dua puluhan saya pernah bermimpi berbicara dengan Sayyid Qutb dalam keadaan saya sedang membaca surat tersebut. Antara yang beliau sebut dalam suratnya: “Apabila kita mencari sudut baik dalam jiwa manusia kita akan dapati di sana kebaikan yang banyak yang barangkali mata tidak dapat melihatnya pada awal pandangan”

Beliau menyebut lagi: “Sesungguhnya kejahatan itu bukanlah sesuatu yang mendalam di jiwa insani sehingga ke peringkat yang kita bayangkan kadang-kala. Ia hanyalah kulit keras luaran yang manusia gunakannya untuk menghadapi kehidupan demi untuk bertahan. Apabila mereka beriman maka tersingkaplah kulit keras luaran itu, zahirlah buah manis yang menyelerakan.. buah manis ini hanya tersingkap kepada sesiapa yang mampu menjadikan manusia merasa aman di sisinya.. dengan keyakinan terhadap kasihnya.. dengan simpati yang hakiki atas masalah, kesakitan, kesilapan dan kebodohan mereka..dengan sedikit berlapang dada pada peringkat awal menjamin untuk merealisasikan itu semua. Ia lebih pantas dari sangkaan kebanyakan orang..”

Insan tidak boleh berputus asa dengan hidupnya. Tidak boleh berputus harap terhadap masa depan yang berada di tangan Tuhan. Rahmat Allah itu sangat luas, DIA tidak pernah mensia-siakan sesiapa benar-benar ikhlas ingin kembali kepadaNYA. Allah itu bukan sahaja menerima taubat bahkan memberikan pelbagai anugerah kepada orang-orang yang kembali kepadaNYA dengan pelbagai anugerah yang istimewa. Di samping DIA kadang-kala menguji keikhlasan dan kesungguhan hamba-hambaNYA yang kembali kepadaNYA itu, DIA juga membuka pelbagai pintu yang tidak disangka dan diduga.

Firman Allah: (maksudnya)

“kecuali orang yang bertaubat, beriman serta mengerjakan amalan soleh, maka mereka itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Furqan, ayat 70).

Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa Allah menukarkan kejahatan ataupun dosa mereka yang bertaubat menjadi kebaikan. Antara yang ditafsir oleh para ulama bahawa dengan taubat yang nasuha dosa-dosa kejahatan ditukar menjadi pahala di akhirat kelak. Betapa besarnya rahmat Allah kepada sesiapa sahaja yang benar-benar ingin kembali kepadaNYA. Dosa-dosa menjelma menjadi pahala, bayangkan rahmatNYA.

Tiada yang menghalangkan insan kembali kepada Tuhan melainkan kesombongan dirinya sendirinya. Unsur kebaikan telah Tuhan letakkan dalam diri insan, kitalah yang wajar berusaha menyingkapkannya.


View the original article here

0 comments:

Post a Comment